ALIF BA TA

ALIF BA TA

31 January 2011

TINDAKAN MALAYSIA TERHADAP MAHASISWA/WI DALAM SUASANA ANARKI DI MESIR

Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah hari ini mengesahkan bahawa semua pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir selamat setakat 4.30 petang ini (waktu di Malaysia). Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika di Labis hari ini memberitahu bahawa tiada keperluan untuk membawa balik pelajar-pelajar Malaysia buat masa ini. Jika pelajar-pelajar berkenaan ingin pulang, mereka boleh melakukannya dengan membiayai sendiri perjalanan pergi dan balik dari negara itu, menurut Muhyiddin lagi.


Wisma Putra dalam satu kenyataan pula turut menasihati ibu bapa dan anggota keluarga agar tidak terlalu bimbang kerana kedutaan serta Jabatan Penuntut Malaysia sentiasa memantau perkembangan terkini, selain berhubung dengan pelajar dan rakyat Malaysia berkenaan.


Dua bilik operasi juga telah ditubuhkan iaitu di Kementerian Luar Negeri, Putrajaya dan di Kedutaan Besar Malaysia, Kaherah.

Ia boleh dihubungi di talian 03-88892746 / 03-88874570 (Putrajaya), dan 00-202-37610013 sambungan 116, atau 00-202-37610164 (Kaherah) dan bercakap dengan Penasihat Menteri Saharudin Hassan, Setiausaha Kedua Samsul Kahar Kamarudin serta Setiausaha Ketiga Iskandar Harman.


Bagi Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula, pihak MARA masih meneliti perkembangan pelajar Malaysia di sana dari masa ke semasa dan menganggap keadaan adalah terkawal. Ketua Pengarahnya, Ibrahim Ahmad akan bekerjasama dengan Wisma Putra bagi mendapatkan nasihat dan arahan untuk tindakan selanjutnya.


Namun begitu tindakan oleh kerajaan Malaysia, ibu bapa kepada para pelajar Malaysia di sana dimaklumkan oleh kebanyakan anak-anak mereka ialah keadaan mereka di sana dalam keadaan yang perang yang menyebabkan mereka terpaksa tinggal di dalam kediaman mereka sahaja.

Bukan itu sahaja, masalah keselamatan amat teruk di sana kerana penduduk yang berdemonstrasi mengambil peluang untuk mencuri, merompak dan melakukan jenayah di dalam situasi anarki buat masa ini.

Malah, pelajar-pelajar Malaysia semakin kekurangan bekalan makanan kerana keadaan anarki di Mesir menyebabkan banyak kedai dan pasaraya ditutup. Tindakan kerajaan Malaysia yang enggan menghantar kapal terbang tentera udara bagi mengambil pelajar Malaysia adalah dikesali, menurut kebanyakan ibu bapa di sini.


Mereka hairan tindakan kerajaan Malaysia yang ada hingga menyifatkan kerajaan BN berbuat demikian kerana ‘menghukum’ pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang didakwa mereka ramai yang tidak menyokong parti pemerintah BN. Malah, ada yang beranggapan kerajaan BN bimbang pelajar-pelajar ini akan membawa sentimen yang berlaku di Mesir dan Tunisia yang boleh menggugat kerajaan BN.
Insiden yang semakin memburuk di Mesir itu telah menyebabkan beratus-ratus penduduk negara itu telah terbunuh. Malah, wujudnya kumpulan militan bermaharajalela mengambil kesempatan yang berlaku itu untuk menggempur penjara-penjara seluruh negara itu bagi membebaskan rakan-rakan mereka.
Keadaan yang semakin getir ini boleh dilihat apabila kerajaan Amerika Syarikat, India dan United Kingdom telah menghantar pesawat bagi mengambil pulang rakyat mereka yang berada di Mesir yang mahu pulang.
Ramai ibu bapa di Malaysia berasa kesal dengan keputusan Muhyiddin yang disifatkan sebagai mempunyai agenda tertentu. Namun begitu, mereka berharap kerajaan Malaysia berfikiran professional dan bertanggungjawab di atas nyawa anak-anak muda pembina Malaysia di masa hadapan dengan menghantar pesawat mengambil mereka pulang buat sementara waktu.


-KLToday.com

No comments: