ALIF BA TA

ALIF BA TA

28 January 2014

BN Tidak Perlu Bertanding N25 Kajang

Assalamualaikum wbt




Minggu ini politik negara dikejutkan lagi dengan peletakan jawatan ADUN N25 Kajang, Lee Chin Cheh. Keputusan beliau penuh dengan kontroversi. Kontroversi melanda bukan setakat YB Kajang sahaja namun terpalit sama pada nama-nama lain 'pelakon' sinetron politik negara.

ANWAR IBRAHIM MB SELANGOR

Kekosongan kerusi DUN N25 ini juga turut dikaitkan dengan tindakan YB Kajang itu untuk memberi laluan kepada beberapa individu besar dalam PKR untuk menduduki kerusi empuk MB Selangor. Selang beberapa jam pengumumuan YB Kajang, keluar desas desus yang menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding dikawasan tersebut dan seterusnya membuka laluan untuk beliau menjadi MB Selangor. Walaupun DSAI sudah mengeluarkan kenyataan penafian, namun, berita ini masih lagi menjadi siulan hangat kebanyakkan tokoh2 politik dan ahli2 PKR.

BN RUGI JIKA BERTANDING

Pada hemat saya bagi DUN N25 ini keputusan paling bijak yang boleh dibuat dari kacamata politik Datuk Seri Najib Razak ialah untuk tidak bertanding. Kerana apa? Kalau dalam bahasa kasar nya saya terus katakan, bahawa BN tidak akan menang! Sudah ketahuan keputusannya. Dan anda semua tahulah apa punca dan sebabnya, tidak perlu di bincangkan lagi.

Namun, jika sekiranya menang sekalipun, BN tetap tidak boleh menawan kembali Selangor. Sebab itu tidak ada kepentingan langsung untuk BN bertanding dan beriya-iya untuk melabur pelaburan besar di Kajang.

Malah jika kalah, sudah pasti ianya menjadi 'peluru' hidup percuma buat BN daripada pembangkang. Bukan sahaja merebahkan moral ahli2 BN, ianya juga akan menjatuhkan lagi imej Barisan Nasional itu.

POLITIK KEGILAAN

Walau apapun, politik ini merupakan satu bom jangka. Ada banyak perkara yang sukar untuk dibayangkan. Politik kegilaan ini adakalanya menjadikan enviroment politik negara 'segar' namun tidak lebih juga ianya menjengkelkan. Apa yang pasti, kita tunggu dan lihat.

p/s: Ini semua hanya sekadar pendapat peribadi ABT

HAZWAN MOHAMAD
8:20 AM
28 Jan 2014

03 January 2014

Satu Qiblat Yang Sama

Satu Qiblat Yang Sama. 



Dalam bait kata tersemat semangat, dalam bait lirik lagu tersimpul azimat. 
Lagu2 yang didendangkan kumpulan nasyid Rabbani oleh Allahyarham Ustaz Asri ini kebanyakkanya sentiasa memberi inspirasi dan juga pengajaran untuk diinsafi.

i.
Ada yang hitam, ada yang putih..Zahirnya Dia menciptakan kita berbeza,
Namun batinnya kita dikurnia akal fikiran yang lengkap sempurna,
Walau berbeza kasta budaya, hanya amalan pada-Nya yang utama,
Kita mewarisi Al-Quran suci sebagai panduan tuk hidup sejahtera.

Cuba hayati bait ini, tidakkah ia terkena pada diri? Bercerita pada kita, bahawa manusia semuanya sama sahaja, yang membezakan hanya iman dan taqwa. Maka mengapa mahu disua riak ujub dan takbur dalam diri?

ii.
Seringkali iman akan diuji bak layar dihembus laut gelora,
Dalam mengejar kehidupan di sana, jangan alpa meredah kabus dunia,

Cuba hayati lirik ini, tidakkah ia terkena pada diri? Bercerita pada kita, bahawa kehidupan dunia jangan pernah menutupi mata hati kehidupan akhirat yang kekal abadi?

iii.
Walau pandangan jauh berbeza, tak bermakna ada salah ada benar,
Pada akhirnya kita semua sujud ke arah satu qiblat yang sama.

Cuba hayati liuk lentuk lirik ini, tidakkah ia terkena pada diri? Bercerita pada kita, bahawa walau apa pun sudut pandang yang dikemuka, walau berbeza pendapat dan idea, namun kita tetap bersaudara?

Maka mengapa mendabik dada, mendengus amarah dan mencerca hina? Sedangkan kita manusia yang serba tidak sempurna.

Maka mengapa menghukum, mengkafir, dan menerakakan manusia?
Sedangkan kunci syurga bukan ditempa khas untuk kita.

Salam Penghulu Segala Hari dari Bumi Inggeris.

p/s: Al-Fatihah untuk Arwah Ust Asri. Semoga usaha dakwahnya melalui lagu2 ini menjadi asbab kehidupan yang mulia di sana.

Hazwan Mohamad
1.00 am
3 Januari 2013 

01 January 2014

Warkah Tahun Baharu 2014

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah segala puji-pujian bagi Tuhan Semesta Alam. Dia yang menciptakan langit dan bumi. Dia yang memiliki bumi dan segala cakerawala. Tiada Tuhan Selain ALLAH Yang Maha Esa. Tahun 2014 kini membuka tirainya. Setelah 365 hari pada tahun 2013 Masihi ini kita tinggalkan, kini, kita akan membuka satu lagi episod, warkah dan buku baharu dalam perjuangan kehidupan yang semakin hari semakin mencabar.

HARI INI LEBIH BAIK DARI HARI SEMALAM



Bila mana masuk sahaja tahun baru, ramai daripada kalangan kita yang sibuk memasang azam baharu. Banyak impian2 yang akan masuk dalam list sempena tahun baru. Baik adik2 kecil sehinggalah kepada ibubapa kita pun pasti memiliki 'aim' 'target' yang ingin dicapai atau dimiliki bagi tahun baru ini. Ini adalah salah satu cara untuk kita memotivasikan diri. Meletakkan sesuatu untuk kita capai adalah antara aura positif yang boleh mendorong kepada sebuah kejayaan. Dalam Islam juga, kita diajar untuk menjadi manusia yang lebih baik pada setiap waktu dan ketika. Sabda Nabi SAW yang bermaksud beruntunglah bagi mereka yang hari ini lebih baik daripada hari semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Dan rugilah mereka yang sama sahaja hari-harinya.

POSITIF VS NEGATIF

Tahun 2014 yang pasti akan banyak episod. Dan episod2 tersebut sudah pastilah tidak akan lari daripada kisah suka,duka,sedih, lara dan macam-macam rasa lagi. Apatah lagi kehadiran tahun 2014 ini, kita dihambat dengan kisah-kisah sadis untuk rakyat marhaen. Kenaikan harga barang dan sebagainya. Namun demikian, janganlah dek kerana aura negatif yang diberi tatkala tahun 2014 ini mendatangi kita, kita terus mahu berputus asa. Tidak kah kita merasakan bahawa tatkala kita berputus asa kita sebenarnya sedang berputus asa dengan rahmat dan rahmah daripada ALLAH SWT. Teruskanlah langkah untuk tahun 2014 ini dengan DUIT.. Doa Usaha Ikhtiar Tawakal. Tiada kejayaan  yang datang bergolek. Segala rezeki yang dikurnia ALLAH itu harus datang dengan usaha ikhtiar dan kemudian bertawakkal.

MOTIVASI DIRI

Motivasi ini amat penting. Dalam apa jua keadaan, kita wajib untuk memotivasi diri. Sebagai seorang Islam, motivasi yang paling baik dan paling bagus adalah dengan membaca 'buku' motivasi terhebat sepanjang zaman. Iaitu Naskah AL-QURAN. Sepanjang zaman terhebat tersedia untuk ummat Muhammad membaca dan mengambil ibrah dari nya. Tahukah anda, berapa ramai daripada ahli-ahli falsafah di barat yang sudah lama mengkaji akan kehebatan al-Quran ini? Jika anda mengetahuinya sudah pasti kita akan merasa hampa dan kesal dengan kehidupan kita. Sedangkan orang bukan Islam sendiri mengkaji dan membacanya namun kita? Masih  mengagungkan yang lain dari kepunyaan kita sendiri.

PERJUANGAN HIDUP


Perjuangan hidup manusia ini pelbagai. Ada yang berjuang untuk kehidupan individu dan keluarga agar menjadi lebih baik pada masa hadapan. Ada yang berjuang untuk matlamat hidupnya sendiri tanpa memikirkan alam sekeliling. Namun perjuangan hakiki adalah dengan memperjuangkan kehiduapan yang lebih baik untuk diri kita dan ummah di dunia dan akhirat. Ramai dalam kalangan kita harini yang berjaya sebagai seorang doktor, arkitek, ahli ekonomi dan juga jutawan namun, berapa kerat dikalangan mereka yang memberi sedikit ruang didalam hati untuk sedikit agenda perjuangan ummahnya?  Sedang hari ini musuh2 Islam kelihatan sangat berjaya dalam memusnahkan jati diri dan keyakinan ummah ini. Sedang kita lena, berapa ramai musuh2 ALLAH ini sedang mempersiapsiaga menghancurkan dan meluluhkan kekuatan ummah ini. Tidakkah kita berfikir?

HARAPAN

Justeru itu, adalah menjadi kewajipan untuk kita menjadikan sedikit di dalam hati ini tujuan dan perjuangan hidup ini untuk berbakti dan menyumbang kalau tidak banyak sedikit pun sudah memadai. Tanamkan lah dalam diri mulai hari ini, bahawa kejayaan yang aku kejar dan impikan ini, semuanya adalah untuk kejayaan diri keluarga dan juga ummah ini. Demi AGAMA BANGSA DAN TANAH AIR yang tercinta ...

-hm-

Perjuangan Ummah : Satu Permulaan





Assalamualaikum wbt. 

Alhamdulillah syukur kehadrat ALLAH SWT atas limpah dan kurniaNya percubaan kali pertama untuk muncul di alam maya melalui Channel Youtube saya ini akhirnya berhasil jua. Setelah beberapa kali usaha untuk merealisasikan hasrat ini tertunda, syukur masih ada peluang dan ruang yang Dia kurnia buat hambaNya yang serba tidak sempurna.

YOUTUBE CHANNEL 

Saya melihat bahawa dalam era globalisasi yang cukup mencabar ini, pelbagai cara dan juga ruang yang dilihat mampu memberikan aura positif kepada sesiapa sahaja yang menggunakannya secara baik dan berguna. Pada hemat saya sumbanglah sesuatu kepada agama, bangsa dan negara ini melalui apa sahaja cara. Insha ALLAH, Dia akan menilai kita dari niat kita yang utama. 

Justeru tahun 2014 ini membawa saya kepada satu hasrat yang sudah lama tertunggak ini. Saya buka lembaran tahun 2014 untuk tahun2 yang akan membawa kepada satu lagi anjakan paradigma dalam hidup saya di dunia ini. Youtube Channel @hazwanmohamad ini membawakan hasrat saya ini.

TUJUAN

Youtube Channel ini akan memberikan ruang kepada saya untuk menyampaikan siri2 motivasi ringkas dari sudut kepimpinan, rohani dan juga insha ALLAH intelektual. Siri2 video ini pendek dan akan cuba diringkaskan isi nya sebaik mungkin. Saya percaya, kekuatan agama bangsa dan negara kita bukan bermula dari seorang, namun ianya adalah secara berjemaah atau berkumpulan. Saya seorang diri tidak mampu melakukan semua perkara, namun jika kita bersama dan bersatu hati dunia 2/3 milik Islam dahulu pun kita boleh milik kembali.  

MEMOTIVASI DIRI 

Saya percaya bahawa semua manusia di dalam dunia ini perlu untuk memotivasikan diri sendiri. Motivasi ini bukan boleh dibeli. Bukan boleh diminta. Tetapi perlu dicari. Motivasi diri juga bukan hanya sekali, tetapi ianya harus berterusan dan istiqamah. Justeru itu adalah penting bagi kita mencari titik motivasi dalam diri. Dan salah satu caranya adalah dengan memotivasikan diri sendiri dan dalam masa yang sama cuba memotivasikan orang lain juga. Maka youtube channel ini akan memberi ruang dan peluang untuk diri saya dan juga semua orang.

HARAPAN 

Akhir sekali saya sentiasa terbuka untuk menerima cadangan penambahbaikan, kritikan membina, dan juga idea-idea yang ingin disampaikan demi pembangunan ummah ini. Saya percaya bahawa kita semua adalah hambaNya yang sentiasa menginginkan kebaikan dan kejayaan buat semua. Sebarang idea cadangan dan kritikan boleh disampaikan kepada saya melalui blog ini atau email saya di hazwanmohamad92@hotmail.com ATAU melalui lama FB dan Twitter saya Hazwan Mohamad.