BANDUNG 28 Jan. – Di sebalik hubungan Malaysia dan Indonesia yang kadang kalanya “panas”, artis popular dari Malaysia Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dicadangkan menjadi Duta Kebudayaan Masyarakat Melayu dalam usaha mengakrabkan hubungan rakyat di negara-negara Nusantara.
Cadangan itu dibuat oleh Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) berdasarkan penerimaan besar masyarakat terhadap personaliti Siti Nurhaliza.
"Lebih baik gelar itu datang dari masyarakat, lebih baik beliau diterima masyarakat, kerana gelar itu akan menjadi abadi,” kata Ketua Iswami Indonesia, Saiful Hadi Chalid ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Saiful Hadi, yang juga Ketua Pengarang Agensi Berita Indonesia, Antara, sebelum itu menyuarakan cadangan berkenaan semasa memberi ucapan awal pada Seminar Ekonomi Malaysia Indonesia (SEMI 10) dan berharap semua pihak di Indonesia dan Malaysia dapat menerima secara positif cadangan itu.
Seminar sehari itu, yang dianjurkan oleh Iswami, dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua Malaysia Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Ketika menjelaskan lebih lanjut cadangan beliau itu, Saiful Hadi berkata beliau yakin Siti Nurhaliza boleh memainkan peranan amat berkesan untuk
“menyejukkan suasana” ketika berlaku krisis dalam hubungan Malaysia dan Indonesia, misalnya.
"Ketika ada isu-isu hangat, tak perlu bersusah-payah kita mengirim delegasi Malaysia atau Indonesia untuk menenangkan keadaan, cukup dengan mengirim Siti Nurhaliza menyanyi dan mengatakan buat apa kita bermusuhan.
"Cukup itu saja, ini akan menggugat hati orang yang hanya melihat sesuatu perkara itu dari sisi negatif,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment