Oleh MOHAMAD RIDHWAN BIN ALIAS
Kepimpinan dan komuniti mahasiswa merupakan satu ikatan yang tidak dapat dirungkai. Dalam sejarah mahasiswa sendiri, kemunculan pemimpin mahasiswa tertentu begitu kuat mencorak perjuangan para mahasiswa di kampus. Menurut Mohamad Abu Bakar dalam artikelnya Kepimpinan dan Komuniti Mahasiswa, pemimpin adalah individu yang berprinsip, berinisiatif dan berfikiran tentang keperluan hidup berorganisasi sama ada dalam keadaan mencabar atau tidak mencabar. Sebenarnya, kekuatan gerakan mahasiswa bergantung kepada kekuatan pimpinan yang berkarisma dalam mengembleng tenaga-idea mahasiswa untuk memperjuangkan sesuatu isu. Perjuangan seseorang pemimpin dilatari dengan pengalaman dan pendidikan yang diperolehi oleh pemimpin tersebut. Universiti sendiri adalah gudang untuk melahirkan pemimpin-pemimpin pada masa depan. Di universiti, bakat dan potensi diri diasuh agar diri mahasiswa tersebut lebih berprestatif dalam kepimpinan organisasi.
Kepimpinan mahasiswa dikatakan lesu sejak kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 1971. Sebenarnya, kita tidak boleh menafikan AUKU telah memberikan impak negatif ke atas gerakan mahasiswa termasuk ke atas proses kepimpinan mahasiswa. AUKU telah menumpulkan sifat keberanian pimpinan mahasiswa dan menelurkan kesan psikologi yang negatif seperti pengantungan kepada pihak atasan dan bermentaliti subsidi. Keadaan bertambah teruk apabila pemimpin mahasiswa yang aktif selalu dilabelkan sebagai anti establishment. Oleh sebab itu, kebanyakan mahasiswa lebih selesa menjadi ulat buku atau menceburi aktiviti berfoya-foya di luar kampus.
Kepimpinan mahasiswa sewajarnya tidak melihat AUKU sebagai alasan kelesuan gerakan mahasiswa pada masa kini. AUKU sendiri memberi ruang untuk mahasiswa aktif dalam aktiviti berpersatuan dan bermasyarakat. Mahasiswa perlu rasional bahawa suasana pada hari berbeda dengan suasana pada tahun 1970an dimana pada masa itu isu kemiskinan, kedaulatan Bahasa Melayu dan isu antarabangsa berada pada suhu yang hangat. Kini, interprestasi gerakan mahasiswa memerlukan satu anjakan paradigma. Mohamad Abu Bakar dalam artikelnya Kepimpinan dan Komuniti Mahasiswa memberi contoh yang amat menarik dimana para pemimpin mahasiswa Universiti Oxford melakukan satu demonstrasi bersifat intelektual dan rekreasi dengan mengadakan debat dan perlumbaan perahu secara tradisi dengan pemimpin mahasiswa Universiti Cambridge. Disinilah para pemimpin mahasiswa diuji dengan kemahiran berhujah, ketahanan mental, fizikal dan ketinggian ilmu pengetahuan.
Dalam konteks Malaysia, penganjuran seminar atau program lawatan sambil belajar boleh dikatakan menguji potensi diri pimpinan mahasiswa. Para pimpinan mahasiswa perlu mengetahui kos kewangan, pemilihan tempat, publisiti dan sebagainya. Tanpa persediaan yang cukup dari segi mental, emosi dan fizikal, perjalanan program mungkin akan gagal. Dalam program seumpama ini, pembahagian tugas, kemahiran berkomunikasi dan kerjasama berkumpulan merupakan nadi kejayaan program. Untuk menguruskannya, para pemimpin mahasiswa perlu mempunyai ilmu-ilmu bantu yang bukan subjek pelajarannya di universiti dan pemimpin mahasiswa perlu merancang dengan teliti untuk menambahkan keberkesanan program.
Dalam konteks masyarakat kampus pada hari, isu politik menjadi dominan padahal isu politik ada pasang surutnya bergantung pada sesuatu isu. Kita harus sedar, budaya intelektual lebih kekal dan serasi dengan suasana di kampus yang dianggap lembah keilmuan bahkan budaya intelektual boleh mempengaruhi suasana politik kampus dan nasional. Para pimpinan mahasiswa seharusnya mengambil peluang membangun dan memupuk sebuah aliran pemikiran atau School of Thought yang tersendiri. Menurut Mohamad Abu Bakar, para pemimpin mahasiswa boleh menjalankan aktiviti keilmuan yang membabitkan sebahagian mahasiswa dalam rancangan berfikir, berdiskusi, berdialog dan berseminar secara berkumpulan, kemudian mereka membentang dan menyebarkan fahaman mereka.
Aliran pemikiran mahasiswa ini membolehkan mahasiswa berinteraksi dalam kerangka tersendiri walaupun membahaskan isu-isu luar kampus. Kekuatan aliran pemikiran yang tersendiri begitu terserlah semasa kewujudan Kelab Sosialis Universiti Malaya [KSUM]. KSUM mempunyai ideologi yang tersendiri begitu aktif memdiskusikan persoalan masyarakat, kampus, nasional dan internasional dalam ruang pemikiran sosialisme. Keberkesanan aliran pemikiran KSUM cukup mengkagumkan apabila kader-kadernya berjaya menguasai Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dengan penerapan idea sosialisme bahkan KSUM merupakan pembekal utama pimpinan untuk Parti Rakyat Sosialis Malaya (PRSM) dengan kehadiran Syed Hamid Ali dan Dr. Sanusi Osman.
Sebenarnya, secara sedar atau tidak golongan mahasiswa Islamis juga mempunyai kumpulan pemikir tertentu semasa awal tahun 1980an. Kumpulan Islamis tersebut dikenali Kumpulan Republik Islam [RI] yang berpengaruh di Universiti Malaya. Pada peringkat awal, kumpulan ini dikenali kumpulan Enam Kerinchi yang terdiri daripada Mohamad Hussein, Mohd Taib Ahmad, Syed Putra Syed Ahmad, Mohd Fuad Zakarshi, Takiyuddin Hasan dan Azmi Ali telah mengagaskan idea kepimpinan ulama. Kumpulan RI berjaya menumpaskan proksi ABIM-PKPIM untuk memenangi kerusi kepimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya [PMIUM] pada tahun 1983. Kumpulan RI atau Kumpulan Universiti Malaya merupakan pembekal pemimpin-pemikir kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan menguasai kepimpinan PAS dengan kehadiran Husam Musa, Mohamad Hussein, Takiyuddin Hasan dan Mohd Taib Ahmad.
Kekuatan pemikiran kumpulan Republik Islam begitu mantap dilakarkan dalam artikel Aliran Modenisme Dalam Islam oleh Azmi Ali, mahasiswa Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya. Kumpulan Republik Islam mengagaskan aliran pemikiran Islam yang syumul dan murni yang mengkritik keras pemikiran modernisme yang begitu berbahaya dan mengancam akidah Islam. Azmi Ali mengarahkan aliran pemikiran Islam Kumpulan RI iaitu ‘kembali kepada prinsip-prinsip asali Islam’ yang murni.
Kini, trend pemikiran Islam menjadi dominan di kampus-kampus nasional selaras proses kebangkitan semula Islam pada awal tahun 1970an. Jika dulu, trend pemikiran di kampus dihayati oleh organisasi luar tetapi sekarang idealis organisasi luar menjadi ikutan para pemimpin mahasiswa. Oleh sebab itu, masyarakat, media massa dan kerajaan seringkali melabel pemimpin mahasiswa sebagai agen parti oposisi. Dari trend pemikiran berubah kepada ikutan penghayatan ideal politik parti oposisi menyebabkan para pemimpin mahasiswa diikat dan dibelenggu dengan isu-isu perjuangan parti oposisi. Kondisi ini menyebabkan gerakan mahasiswa sukar menjalankan aktiviti-aktiviti keilmuan di kampus.
Para pemimpin mahasiswa kini seharusnya menghayati gagasan kepimpinan intelektual dan mempraktikkan dalam kehidupan amali di kampus dan luar kampus. Gagasan kepimpinan intelektual adalah gagasan berterusan dalam kehidupan kampus bukannya protes politik. Walau bagaimanapun, tuntutan-tuntutan sosial dan politik yang lain perlu juga diambil perhatian dan diterjemahkan gagasan kepimpinan intelektual dalam persoalan tersebut. Contoh, dalam isu kemiskinan, para pemimpin mahasiswa bergayakan gagasan kepimpinan intelektual menyediakan penyelesaian melalui kertas cadangan, debat, khidmat masyarakat dan memorandum kepada pihak berkenaan. Penyelesaian perlu dicari dengan suasana kondusif dimana kaedah demonstrasi jalanan dilihat kurang berkesan kerana mahasiswa dan masyarakat Malaysia sekarang berada dalam keadaan selesa sehingga sukar untuk kebanyakan mahasiswa dan rakyat turun ke jalanan untuk memprotes pihak berkenaan.
Kepimpinan intelektual mahasiswa perlu mengarap fahaman dan ideologi, mengolahnya dan kemudiannya berusaha melaksanakan objektif yang terkandung dalam ideologi tersebut. Peringkat pencambahan minda ini boleh dimulakan dengan pendiskusian buku Risalah Untuk Kaum Muslimin, karangan Syed Naquib al Attas yang cukup bernas membicarakan persoalan aliran pemikiran moden pada hari ini. Sebagai cadangan, buku ini perlu dijadikan bahan bacaan wajib bagi pemimpin mahasiswa. Asahan minda cukup bermaya jika disuntik dengan perdebatan ilmiah yang mencetuskan idea baru atau menyelesaikan polemik yang sedia ada.
Gagasan kepimpinan intelektual mahasiswa yang dihangatkan oleh Mohamad Abu Bakar ini perlu diambil cakna oleh para pemimpin mahasiswa pada hari ini. Mandat besar yang diperolehi oleh parti pemerintah membuktikan rakyat Malaysia belum berkeyakinan melakukan perubahan dan masih berkeinginan berada dalam zon selesa. Oleh sebab itu, kaedah demonstrasi bukanlah jalan terbaik untuk menyelesaikan isu-isu kampus, nasional atau internasional. Para pemimpin mahasiswa perlu menterjemahkan suara intelektual dalam seminar, forum atau penulisan dalam akhbar dan majalah. Penulisan dalam media massa sendiri merupakan kaedah alternatif yang paling murah dan berkesan untuk mengerakkan pemikiran mahasiswa dan masyarakat massa. Keberkesanan ini terbukti apabila kaum muda yang dipelopori oleh Syed Sheikh al Hadi berjaya menyebar-luaskan idea Islah kaum muda melalui akhbar al Iman.
Sebagai konklusi, penulis memetik pendapat Mohamad Abu Bakar dalam artikelnya Falsafah Perjuangan Mahasiswa menyatakan pergerakan mahasiswa seumpama air dari gunung yang mengalir, kadangkala mengalir deras kadangkala perlahan. Air yang mengalir diserap masuk ke dalam tanah dan pada satu masa nanti ia akan keluar dari tanah. Perumpamaan ini mengambarkan perjuangan gerakan mahasiswa terutamanya dalam isu politik ada pasang-surutnya. Suasana dan isu semasa banyak mempengaruhi hala tuju gerakan mahasiswa tetapi pembudayaan intelektual merupakan hala tuju hakiki dan berterusan bagi gerakan mahasiswa di kampus selaras dengan peranan universiti sebagai taman keilmuan.
No comments:
Post a Comment