DARI BLOG RAKYAT MARHAEN :
~ tersentuh ABT MEMBACAnya~
Saya terpanggil untuk mengongsi secebis coretan hidup ini yang menimpa golongan berpendapatan rendah yang menerima akibat buruk dari inflasi yang bakal menjadi lebih parah tahun ini seperti yang saya sebutkan dalam posting mutakhir saya.
Ini hanya satu dari pelbagai cerita duka dalam negara yg mewah dianugerah kekayaan hasil mahsul dari Allah SWT.
DUKACITA SEBUAH KELUARGA MISKIN: BAHASA DUKA YANG MENITISKAN AIR MATA!
"Bang... sardin tin besar ni minggu dulu harganya RM5.70, tapi sekarang dah RM6.20!" dia meletakkan semula tin sardin jenama popular di rak sebuah pasaraya di Shah Alam tadi petang.
Kemudian anak kecilnya barangkali enam atau lima tahun saya terdengar merengek beberapa kali. "Abah...nak aiskrim!" Si ibu yang sejak awal mengekori si suami memerhatikan harga pada setiap kali barangan dipegang, akhirnya separuh bersuara:"
"Adik...ibu tengok tadi aiskrim tu dah naik 30 sen. Nanti ibu buatkan aiskrim sirap kat rumah ya..." lembut suara si ibu separuh memujuk. Si ayah tersenyum tawar memandang saya. "Belikanlah..." beritahu si ayah mengarah isterinya, barangkali tidak sampai hati melihat wajah anak kecil yang sayu itu.
Sebelum ke baris sebelah untuk membelikan ais krim untuk anaknya, si ibu berbisik. Saya tidak mendengar langsung apa yang dicakapkannya kepada suaminya itu. Hanya selepas isterinya pergi, si suami tanpa berselindung memberitahu saya. "Orang rumah saya tanya tadi, cukupkah duit yang saya bawa!" dan dia tergelak dua tiga kali tetapi kekehnya tawar dan hambar.
"Tak jadi nak belilah sardin ni!" katanya seolah-olah sedikit kecewa. "Nak tengok tempat lain nanti," jawapnya. Saya bertanya kenapa dia membeli sardin. "Bukan apa bang. Orang susah macam saya ni kena simpan stok lauk. Nak beli ikan mahal..simpan lama pun tak boleh. Tapi kalau sardin ni, beli lima tin boleh tahan sebulan. Kalau dipanaskan tiga hari boleh makan lagi," jawapnya selamba.
Saya terus tertunduk sebelum saya angkat muka memandangnya. "Sekarang kerja kat kilang lama ke?" saya tanya. Dia mengangguk. "Dah berumur ni tak berani nak pindah kilang. Cuma gajinyalah. Dah 20 tahun kerja baru seribu lebih sikit ajer."
Saya tunduk semula memandang lantai simen pasaraya. "Anak yang dua orang tu belajar lagi ke?" saya tanya lagi. Dia mengangguk laju-laju. "Seorang kat Unisel, seorang lagi kat Politeknik. Itu yang saya kena berjimat tu bang," jawap lelaki yang saya kenal sejak berbelas tahun lalu.
Kami tidak lama bersama. Sebelum pulang, saya sempat pelawanya untuk minum malam sebab lama kami tidak berjumpa. Nak tahu apa jawapnya? "Maaflah bang... sebenarnya saya sibuk sangat. Bukan tak sudi. Lepas Maghrib nanti ada kerja! Saya buat part time jaga kat depoh bas, nak cari tambah-tambah duit," katanya.
Sambil bersalam dia menyambung cakapnya. "Dapat empat ratus lagi bang sebab kerja part time ajer..Tapi badan ni dah rasa tak larat sangat. Tengok kaki ni.." dia menyelak pangkal seluarnya. "Ni bengkak dah bertahun ni. Entahlah...doktor cakap gout..." dia mengerutkan keningnya.
Memang saya tidak boleh berlama. Bukan saya tidak punya waktu untuk bersama dengan kenalan lama saya itu. Tapi dalam hati saya pedih, luka dan sebal. Kasihan fikir saya. Kasihan sangat drama kehidupan ini. Bolehkah kami berdepan realiti kehidupan sebuah negara maju.
Dipetik drp Utara Online
Notakaki:
Dan pada hari ini Rosmah Mansor berlepas ke Arab Saudi dalam rangka lawatan ke tiga negara termasuk Oman dan Bangladesh.
Turut mengiringi Rosmah ialah 20 ahli Bakti dan pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM). Rombongan itu berlepas jam 2.30 petang tadi menerusi Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Selepas melawat Arab Saudi mereka akan menziarahi Oman sebelum berkunjung ke Bangladesh. Aktif isteri Perdana Menteri Malaysia ini ketika Rakyat berfikir lima enam kali untuk membeli setin sardin cap Ayam
No comments:
Post a Comment