dari blog TEH GELAS BESAR
Salam salute kepada hero kepada bangsa manusia - Mohammed Bouazizi.
Bouazizi mengingatkan aku
Kepada seorang sami Thich Quang Duc
Yang membakar diri
Demi demokrasi
Demi harga diri
Demi kebebasan diri
Bouazizi - lihatlah apa yang kau telah lakukan
Kau telah cetuskan apa yang Karl Marx sabdakan
Kau telah mulakan apa yang Mikhail Bakunin sabdakan
Revolusi!Revolusi!Revolusi!
Demi maruah diri
Demi emansipasi diri
Roh kau di atas sana
Apakah kau sedang memerhatikan
Anak muda bertempur dengan sang penguasa
Amarah dan perit akibat penindasan
Perit yang kau pernah lalui
Mereka juga turut sama rasa sakitnya
Kau pencetusnya
Bouazizi - kau adalah wiraku
Alam ini tidak akan pernah memaafkan
Dosa yang dilakukan ke atas kamu
Dan alam ini mendengar mengerti
Semoga kau tetap bersemi bersama jasad kami
Menentang penzaliman dan penjarahan
Seluruh kuasa daulah kini sudah kecut telur.Dari Obama ke Hosni Mubarak,dari Ben Ali ke mereka yang sibuk-sibuk nak melesenkan Facebook dan blog.Mereka tahu kalau rakyat bangkit - apa yang mereka harus lakukan ialah mengerah seberapa banyak balachi untuk memukul rakyat.Ada beza antara pengaman dan balachi - mereka yang pengaman akan berpihak kepada mereka yang tertindas.Mereka yang balachi adalah mereka yang selalu mengepau rakyat dengan buat sekatan jalan raya serta menjual ketakutan kepada rakyat dengan memeras ugut dengan pelbagai macam undang-undang.
Gamal Mubarak dan anak bini lari ke London.First Lady sudah mula di lapangan terbang terkontang-kanting dengan beg pakaian.Hosni masih bersembunyi di Sharm el Sheikh.Walaupun bertempur - masih ada dua fraksi dalam pasukan polis dan tentera - mereka yang ingin menjadi balachi - dan mereka yang ingin menjadi pengaman.
Kerana sayur dan buah Bouazizi - seluruh rakyat Arab bangkit.Di Tunisia masih lagi berlaku bantahan sehingga saki-baki barua Ben Ali diusir dari tampuk kuasa.Di Mesir - kemarahan 25 Januari sudah merebak di seluruh negara.Dari Kahirah ke Iskandariah,dari Suez ke Giza - kemarahan sudah mula merebak.Di Jordan rakyat mula mengangkat kubees roti Arab sebagai tanda protes ke atas kenaikan harga barang.Di Syria rakyat mula protes dengan keluarga al-Assad - baik Hafiz atau Bashar.Kedengaran sehingga ke Belarus dan Belgium,dan mungkin merebak di seluruh dunia.
Bila kali terakhir perkara ini berlaku?Tianammen Square 1989 dan Blok Timur Eropah Soviet yang jatuh sehingga tumbangnya Tembok Berlin sebagai satu tanda signifikan Stalinisme sudah tumbang.Di Iran sudah mula ada rakyat berdemo dan berprotes dengan pemerintahan kuku besi Ahmadinejad.Dan di mana-mana - orang sudah mula bercerita tentang revolusi.Bahkan tadi semasa pergi ke kedai membeli barang - wanita dandan rambut dan gincu bibir juga bercakap tentang keberanian anak muda Tunisia dan Mesir.Mungkin mereka segelintir di kalangan seluruh rakyat Malaysia - tapi mereka sudah bercakap tentang revolusi.
Satu konsep yang saya pegang - apa jua konsep negara - baik negara autoritarian,Islamist atau Stalinist - semuanya berakhir dengan sengsara.Dunia paling aman ialah dunia tanpa negara.Manusia adalah satu species Homo Sapiens yang gene poolnya saling berkait antara satu sama lain.Manusia mencipta ilusi negara hasil dari hasil pemilikan tanah.Itu adalah sejarah yang wajar rakyat tahu.Segalanya bermula bila rakyat sudah pandai bertani dan berternak haiwan ternakan - dan wujud dua kaum - yang memiliki tanah dan tidak memiliki tanah.Yang memiliki tanah ialah kaum pemerintah dan yang tidak memiliki tanah ialah rakyat jelata yang diperintah.Itu konsep jelas selama 10,000 tahun dari zaman Hammurabi hingga kini.
Cuba lihat bumi ini.Siapa yang mencipta garis-garis di peta ini?Ini tanah aku,ini tanah aku,dan ini tanah aku.Pencarian tanah manusia bermula sejak manusia mencari sumber ekonomi.So jangan ada lagi berbulshitasi dengan macam-macam auta tentang penubuhan negara - semuanya tentang ekonomi.Portugis takkan berlayar sampai ke Selat Melaka semata-mata kerana Alfonso D'Albuquerque jatuh cinta dengan kecantikan Tun Teja.Jepun takkan datang menyerang Pearl Harbor kerana gadis kimono tidak seseksi gadis bikini Hawaii.Amerika tidak menyerang Iraq kerana Saddam Hussein lebih tampan dari Bush Sr - ini semua kerana faktor ekonomi.
Jadi pemerintah-pemerintah atau asalnya pemilik-pemilik tanah ini mahu terus meluaskan tanah mereka untuk sumber ekonomi mereka.Dan selalunya merekalah berada di ruang yang paling selesa ketika perang.Yang selalu jadi buah catur mereka adalah mereka yang tidak memiliki apa-apa hasil dari ekonomi ini iaitu rakyat.Rakyat diupah menjadi soldadu untuk mengorbankan diri demi si tuan tanah.Selamanya ayatnya begitu.Nasionalisme adalah benda poyo yang digunakan bagi menjadikan mereka yang tidak memiliki tanah untuk mati dalam keadaan yang bermakna.Lumpuh dalam keadaan yang bermakna.Tetapi makna itu hanya diungkapkan setahun sekali dengan kalungan bunga di Tugu Negara setiap Hari Pahlawan.
Jadi kematian mereka adalah untuk si tuan tanah bukan untuk kemerdekaan diri sendiri.Kematian mereka adalah untuk kekayaan bini tuan tanah untuk membeli jam Patek Phillipe yang bernilai RM500,000 seutas.Kematian mereka adalah untuk rumah agam serta intan berlian anak perempuan tercinta si tuan tanah.Bukan untuk diri sendiri.Bukan untuk mereka yang turut bekerja dan memburuh - dan tidak memiliki tanah.
Ini bukan pertama kali mereka yang tidak memiliki tanah bangkit melawan tuan tanah.Spartacus memimpin hamba untuk bebas dari cengkaman pembesar-pembesar Rom dalam Perang Servile ke-tiga.Banyak lagi kebangkitan rakyat selepas itu.Kebangkitan kaum pekerja menentang Czar di Russia sehingga tumbangnya kuasa Czar itu - tetapi ditipu oleh kaum elitan yang menggunakan nama pekerja sebagai memburu kuasa.Mereka di Iran - mengunakan teokrasi dan agama - tetapi memburu kuasa dan menindas rakyat dengan kezaliman.Jadi - mereka yang bangkit menentang adalah mereka yang masih tidak memiliki tanah.Mereka yang memiliki tanah - sama ada memakai mahkota,memakai tengkolok,memakai beret tentera,memakai tali leher,atau memakai serban - tetap akan menindas mereka yang tidak memiliki tanah.Ini adalah rukun bernegara - selain pihak yang tidak memiliki tanah sahaja yang perlu mengikut undang-undang - dan tidak kepada pemilik tanah.Ini telah dicakapkan sendiri - oleh Hammurabi sendiri.
Jadi hukumnya - selagi ada negara - selagi itu ada pemilik tanah dan mereka yang tidak memiliki tanah.Mereka yang memiliki tanah bermakna memiliki ekonomi.Kerana tanah adalah sumber ekonomi - berpijak pada bumi dan di situlah sumber kehidupan.Mereka yang tidak mempunyai tanah tidak mempunyai pilihan selain menjadi hamba abdi kuli batak pekerja demi makanan yang mereka sendiri tanam.Atau pakaian yang mereka sendiri jahit.Atau rumah yang mereka sendiri bina.Sedangkan yang memiliki tanah - mengawal dan memisah-misahkan antara mereka supaya tidak bersatu menentang tuan tanah.
Lama-kelamaan mereka yang tidak memiliki tanah merasa bosan kerana hasil keringat dan peluh mereka tidak menghasilkan untuk diri mereka sendiri.Lama kelamaan undang-undang yang membelenggu mereka tidak lagi mereka tahan.Mereka lawan dan tentang mereka yang memiliki tanah.Bagi saya - jika anda mempercayai Tuhan atau apa jua kuasa yang berkuasa - idea untuk bernegara harus ditolak tepi.Mereka yang atheist pula tidak harus menyokong idea untuk bernegara kerana kita semua datang dari satu atom yang meletup ketika sebelum Planck Epoch pada Big Bang.Kerana tidak ada siapa yang harus memiliki tanah - tetapi harus berkongsi bersama demi kesejahteraan bersama.Idea ini terlalu murni dan kudus serta jujur serta dilihat begitu berdosa kerana seperti kata rakan saya Haizal Yatiran - "kejujuran itu adalah satu dosa".
Jadi - mereka yang melawan bukanlah mereka yang mahukan peperangan.Mereka mahu mereka yang memiliki tanah untuk turut bekerja untuk ekonomi dikongsi bersama.Mereka yang berlawan bukanlah mat gedebe yang suka pukul-pukul orang.Mereka mahu supaya tuan tanah yang pemalas tapi memiliki sumber ekonomi untuk bekerja macam mereka - kerana keringat mereka diklepet dengan bermacam-macam benda disekeliling mereka.Menjadi hamba konsumerisme.Menjadi hamba kepada nasionalisme,menjadi hamba kepada ahli politik dan menjadi hamba kepada fatwa yang dikarang sendiri oleh dua-tiga kerat ahli agama yang menyokong tuan tanah.Paling malang adalah mereka yang menjadi hamba kepada sekeping kertas yang diberitahu nilainya oleh tuan tanah - "ini nilai tenaga anda - sekeping kertas,terima kasih - dengan kertas ini anda boleh menukarkan dengan barang yang anda sendiri buat untuk keunutngan kami".
Saya percaya dunia yang aman adalah dunia tanpa negara.Dunia tanpa negara adalah dunia tanpa tuan tanah - kita semua manusia mengusahakan tanah tanpa dikerah tuan tanah.Tanpa kerahan dari segi cukai,tenaga mahupun fikrah.Dimana setiap dari manusia bekerja untuk melengkapi kehidupan manusia lain.Tidak siapa yang menjadi tuan kecuali Tuhan/alam/atom Planck Epoch/(sila letak nama Penguasa anda sendiri) yang anda percaya.Kepercayaan hanya bersifat peribadi dan tak boleh dipaksa kepada orang lain,dan hanya anda yang menentukan kepercayaan anda sendiri berdasarkan pengalaman dan pegangan.Tidak ada penguasa yang harus memberitahu apa yang anda harus percaya,tidak harus memberitahu apa yang dilarang dan apa yang perlu dibuat.
saya percaya dunia tanpa negara ni mungkin akan wujud pada hari saya mungkin sudah menjadi fosil.Dengan pemikiran serta fikrah manusia yang masih lagi berpuak-puak,masih lagi melihat perbezaan kepercayaan atau seksual orientasi,masih lagi melihat warna kulit,masih lagi menjadi hamba kertas,hamba barang,hamba jenama dan hamba sistem.Saya percaya dunia tanpa negara hanya akan wujud jika ada lagi insan seperti Bouazizi bangkit melawan pada setiap generasi.Dan saya percaya - jika akhirnya kita semua manusia sebelum kita melelapkan mata untuk tidur untuk kita fikirkan sejenak betapa kita manusia harus saling melengkapi sesama kita agar kehidupan ini lebih bermakna,mungkin dunia tanpa negara itu semakin cepat untuk kita capai.
Tapi insan seperti Ben Ali,Hosni Mubarak,Bashar al Assad atau Raja Abdullah tidak pernah berfikirkan perkara ini.Yang difikirkan bagaimana untuk terus mengerah keringat rakyat serta memecahbelahkan mereka dari bersatu.
Salam salute buat Mohammed Bouazizi.Kerana anda - anak muda bangkit berjuang
No comments:
Post a Comment