ALIF BA TA

ALIF BA TA

02 July 2011

ADA APA PADA SYAABAN

1. Malam Nisfu Syaaban

Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : "Telah
datang Jibril a.s pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata , Ya Muhammad,pada
malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilahdan
kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit !" Kata
saya (Nabi Muhammad) :
"Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah
dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak
mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang
suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina,
pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang
yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali
persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya
sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya
itu."
Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta
menangis di dalam sujudnya dengan membaca : "Ya Allah sesungguhnya aku
berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung
pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji
bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa'idzin.

2. Penukaran Arah Kiblat

Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para
sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontraversi pada waktu
itu. Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan
diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu
menghadap Baitul Muqaddis.
Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para
Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh
mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari
Allah SWT. Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang
berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW
mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulamak sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu
perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.
Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib
dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya’. Rasulullah SAW sebagai imam terus
mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.

3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi’)

Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk
membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh
seorang sahabat dari puak badwi. Peperangan ini adalah turutan dari peperangan
bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari
Madhinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin
dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.
Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang putri
pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-
Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris
bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq. Barrah telah menjadi tawanan 
perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik,
ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan,
Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal. Tetapi, Barrah waktu itu langsung
menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.
Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan
menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW
mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah. Tindakan Rasulullah SAW ini telah
memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai
dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan
di antara umat Islam dan Bani Mustaliq. Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.

01 July 2011

REFLEKSI DIRI III : AKU BENCI O.K.U !!!

Saya benci perangai OKU. OKU ini dipandang rendah masyarakat. OKU buat kerja apa pun tak pernah sungguh-sungguh. Baru buat kerja sikit dah berhenti separuh jalan.
"Tak mampu," kata mereka.
Memanglah tak ada orang yang suka mahu ambil OKU untuk bekerja dengan mereka. Saya juga sarankan pada teman-teman semuanya supaya janganlah diambil OKU bekerja dengan anda. Mereka hanya bakal menyusahkan anda dengan mereka.
Merungut lebat, kerjanya lambat.
Ya, saya tahu OKU ni banyak kekurangan. Tapi kita yang lain ini juga serba kekurangan. Itukan fitrah manusia. Tiada yang sempurna.
Jadi apa jua dalih yang OKU beri, sama sekali tak boleh diterima!
Sudah malas, banyak pula alasannya.
Apa? Kalian kata saya kejam? Kurang sensitif? Kurang ajar? Kurang asam? Tak ada adab?
Sabar, sabar, sabar dulu...
OKU itu hanyalah satu gelaran, tapi gelaran itu bukanlah mutlak pada satu milikan.
OKU yang saya katakan bukanlah mereka yang tak berkaki tak bertangan. Tapi pada mereka yang kerjanya, hidupnya tiada kesungguhan. Mereka ini tidak lain tidak bukan, hanya mahu hidup bersenang-senangan tanpa mahu mengenal erti kepayahan.
Keliru? Masih rasakan saya zalim tak berhati perut?
Tak mengapalah. Kita semua ada pendapat sendiri. Ini pendapat saya. Kata-kata saya sendiri, dan saya bercakap ini melalui pengalaman dan dari apa yang saya perhati. Kalau kalian tak bersetuju, sila sahaja nyatakan. Tapi saya akan terus tetap dengan pendirian...
alt
Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu.
* OKU - Orang Kurang Usaha itu memang hanya menyusahkan!

REFLEKSI DIRI II : CINTA AGUNG

ARTIKEL ILUVISLAM

Seorang pencinta akan taat pada kekasihnya. Seorang gadis yang mencintai arjunanya akan sanggup berbuat apa-apa sahaja demi arjunanya yang tercinta. Begitu juga seorang ibu yang mencintai anak-anaknya pasti akan sanggup berkorban apa sahaja bahkan nyawanya sendiri demi kebahagiaan anak-anaknya.
Apakah yang dimaksudkan dengan cinta? Cinta adalah pautan jiwa seseorang terhadap sesuatu yang dipandang dan dapat membahagiakan jiwa seseorang serta akan membina satu pautan yang kukuh. Jika pautan itu sangat kuat, maka ia dinamakan rindu, rindu inilah yang menjadikan seseorang ibarat hamba kepada kekasihnya.
Sudah adakah tanda-tanda cinta itu dalam dirimu?. Jika ada, pada siapa ya cinta dan rindumu itu? Pada kekasih yang jauh dimatakah? Ataupun pada arjuna yang setia menanti di hadapan mata? Mungkin juga pada keluarga yang tercinta? Namun bagaimana pula tahap kasih anda kepada kekasih Allah yang agung, yakni Rasulullah S.A.W? Baginda sangat mencintai kalian sebagai umat baginda sehinggakan di saat kewafatan baginda, baginda telah menyebut perkataan Ummati sebanyak 3 kali. Lalu adakah anda sebagai umat baginda telah melaksanakan perkara-perkara yang sewajarnya anda lakukan untuk membalas lambaian cinta baginda?
Muhasabahlah diri anda wahai rakan-rakan seperjuangan. Adakah anda benar-benar mencintai Nabi Muhammad S.A.W seperti mana yang sering anda ucapkan melalui lisan? Atau adakah ianya sekadar menanam tebu di tepi bibir semata-mata? Pernahkah anda melakukan 5 perkara seperti yang di bawah? Kerana 5 perkara inilah merupakan tanda-tanda anda mencintai baginda Rasulullah S..A.W:
1.      Apabila disebutkan nama Rasulullah S.A.W dihadapanmu, anda terasa suka dan gembira serta merasakan ketenangan dan dengan segera melafazkan selawat keatas Rasulullah S.A.W.
2.      Mendalami sejarah hidup baginda Rasulullah S.A.W serta cuba menghayati akhlaknya yang mulia, mengikut segala perintahnya   dan meninggalkan segala larangannya.
3.      Anda sering merasa rindu untuk berjumpa Rasulullah S.A.W dan mengharapkan dapat bersamanya di dalam Syurga.
4.      Sentiasa berselawat ke atas Baginda SAW dan menjadikannya sebutan dibibir anda dan hati anda.
5.      Mengingati peristiwa-peristiwa penting yang berkaitan dengan sejarah hidup Rasulullah S.A.W, dan perjuangan baginda.
Sungguh beruntung sekiranya kalian benar-benar mencintai Rasulullah S.A.W dan di dalam hati kalian tertanam tanda-tanda cinta kepada Rasulullah S.A.W.
altSabda Rasulullah S.A.W:
"Demi diriku berada digenggaman-Nya, tidak beriman seseorang dikalangan kamu sehinggalah Aku ini lebih dicintai daripda ibubapanya, anaknya dan sekalian manusia".
Berdasarkan hadis ini, kesempurnaan iman hanyalah akan tercapai jika Rasulullah SAW adalah kecintaan kita yang utama, melebihi kecintaan terhadap keluarga dan harta benda sekalian.
 Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
"..Sesiapa yang mencintaiku, maka dia akan bersamaku di dalam Syurga."
"Kamu akan bersama dan dikumpulkan dengan orang yang kamu cintai di akhirat."-Riwayat Bukhari dan Muslim.
Satu keuntungan yang besarlah jika ada tertanam di dalam hati kita semangat cinta kepada Rasulullah S.A.W yang begitu kental sekali melebihi segala-galanya.
Semoga Allah menanamkan di dalam hati kita kecintaan kepada Rasulullah S.A.W yang amat mendalam, serta dapat mengerjakan segala sunnah baginda dengan penuh taat dan kasih sayang, Amin.

REFLEKSI DIRI I : JAUHI BURUK SANGKA DAN UJUB

alt
ARTIKEL ULUVISLAM

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat buruk sangka, bangga diri, ujub dan sombong adalah sifat-sifat mazmumah yang perlu kita jauhi. Tanpa kita sedari bahawa apabila sifat-sifat ini  telah bertapak dalam hati kita akan menyebabkan hati kita berpenyakit dan akan merosakkan amalan kita kepada Allah S.W.T.
Terdapat satu kisah seorang ulama sufi bernama Hassan al-Basri dengan seorang pemuda berdua-duaan dengan seorang wanita.
Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hassan al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di sisi mereka terletak sebotol arak. Lalu Hassan berbisik "Alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau dia seperti aku!"
Tiba-tiba Hassan melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir lemas. Enam dari tujuh penumpang itu berjaya diselamatkan.
Kemudian dia berpaling ke arah Hassan al-Basri dan berkata, "Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam orang."
Bagaimanapun Hassan al-Basri gagal menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu bertanya padanya. "Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan."
Hassan al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya daripada tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan."
Orang itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan."
Semenjak itu, Hassan al-Basri selalu merendahkan diri bahkan ia menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada orang lain.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai pengajaran untuk di ambil sebagai iktibar kisah diatas, terdapat dua cara untuk mengatasinya.
01. Jangan berburuk sangka dengan orang lain serta memandang rendah padanya. Apabila kita melihat orang lain membuat maksiat kepada Allah jangan menghinanya atau reda dengan perbuatannya dan cuba mencari aibnya. Berilah nasihat yang baik penuh hikmah. Anggaplah berkemugkinan orang itu jahil tentang perbuatannya. Sebagai muhasabah diri sendiri pula, kita patut malu pada diri sendiri yang dikurniakan oleh Allah S.W.T ilmu ini tetapi masih juga melakukan perbuatan yang dilarang oleh-Nya.
Buruk sangka kepada orang lain atau yang dalam bahasa Arabnya disebut su' u zhan mungkin biasa atau bahkan sering hinggap di hati kita. Lebih parahnya, terkadang persangkaan kita tiada mempunyai asas dan tiada alasan yang benar. Memang semata-mata sifat kita suka curiga dan penuh sangka kepada orang lain, lalu kita membiarkan zhan tersebut bersemayam di dalam hati. Bahkan kita membicarakan serta menyampaikannya kepada orang lain. Padahal su'u zhan kepada sesama kaum muslimin tanpa ada bukti yang kukuh merupakan perkara yang terlarang.
02. Perkara yang patut kita ingat adalah tentang diri kita iaitu perbuatan baik orang pada kita dan perbuatan jahat kita pada orang lain. Perkara yang patut kita lupakan adalah kebaikan kita pada orang dan kejahatan orang pada kita. Barulah hati kita akan menjadi bersih dan terhindar daripada sifat bangga diri dan menghargai kebaikan orang lain.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang percaya pada keterangan Kami, ialah orang yang apabila dibaca ayat-ayat itu kepada mereka, mereka sujud, tasbih memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri. Mereka meninggalkan tempat tidurnya menyeru Tuhannya dengan perasaan penuh kecemasan dan pengharapan dan mereka membelanjakan (di jalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka," (Surah as-Sajadah:15-16)

BILA JADI JUTAWAN...

Berdasarkan laporan kekayaan penduduk dunia yang dikeluarkan oleh Merrill Lynch dan firma perunding Capgemini, terdapat 9.5 juta orang jutawan (memiliki harta bernilai lebih AS$1 juta) di seluruh dunia pada tahun 2006. Pada tahun tersebut Singapura, India dan Indonesia mencatat pertumbuhan paling tinggi bilangan penduduk yang berjaya mencapai status jutawan. Pada tahun 2007 pula dianggarkan terdapat 415 orang yang bertaraf bilionair di Amerika, 101 orang di Rusia dan 60 orang di Jerman.
Menjadi jutawan adalah idaman hampir semua orang, namun demikian, pada tahun 2006 dianggarkan cuma enam peratus daripada penduduk dunia yang berupaya mencapai status tersebut. Soalnya, Di manakah perginya baki 94 peratus yang lain itu?. Ramai yang beranggapan bahawa negara, bangsa, kepandaian dan peluang adalah faktor utama, namun kepercayaan tersebut tersasar jauh daripada kebenaran, faktor utama yang membezakan mereka adalah corak minda. Para jutawan didapati mempunyai cara berfikir yang berbeza dengan golongan biasa. Mereka mempunyai kepercayaan yang berbeza tentang konsep pemilihan kerjaya, pasangan, tempat tinggal, penggunaan masa lapang, pendidikan hinggalah ke jenis kenderaan yang dipandu.
Menurut kajian Dr. Thomas J. Stanley, corak minda bukan bermaksud kepandaian atau IQ yang tinggi, tetapi membawa maksud “berfikir dengan betul.” Fikiran yang betul tentang pemilihan kerjaya adalah berasaskan kepada minat dan kebolehan seseorang. Mereka menjadi jutawan hasil daripada pendapatan melakukan sesuatu yang diminati atau menggunakan kemahiran tertentu yang dimiliki. Dengan memilih kerjaya dalam segmen tersebut, mereka berupaya memberi perkhidmatan yang lebih baik daripada orang lain, dan dengan itu mereka dibayar dengan imbuhan yang lebih tinggi berbanding dengan orang lain. Menurut kajian Dr. Stanley dua pertiga jutawan mendefinisikan diri mereka sebagai bekerja sendiri atau usahawan dan bergiat dalam bidang yang membolehkan mereka menjadi penyumbang terbaik.
Namun demikian, memperoleh pendapatan yang lumayan sahaja bukanlah syarat mutlak untuk bergelar jutawan, mereka juga harus mempunyai fikiran yang betul tentang konsep perbelanjaan. Para jutawan percaya, pengurusan kewangan bermula dari rumah. Lebih daripada 80 peratus jutawan memilih pasangan hidup yang lebih konservatif tentang kewangan daripada mereka, di samping mampu mengurus perbelanjaan keluarga dengan baik. Dalam memilih pasangan hidup tersebut, mereka memahami perbezaan antara seorang pengurus perbelanjaan dengan seorang yang bakal menjadi sumber perbelanjaan dalam ekonomi rumah tangga. Lebih daripada 90 peratus jutawan terdiri daripada mereka yang sudah berumah tangga dan sebahagian besar daripada mereka cuma mempunyai seorang isteri.
Mereka berkongsi falsafah pengurusan yang sama dengan Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan Malaysia iaitu “ tingkatkan pendapatan dari semasa ke semasa, namun mesti kekal dengan cara hidup yang lama.” Menurut satu maklum balas, 80 peratus penduduk Malaysia menghabiskan pendapatan bulanan mereka dalam perbelanjaan isi rumah dan terus meningkatkan perbelanjaan tersebut seandainya berlaku peningkatan pada tahap pendapatan bulanan. Cara ini sangat bertentangan dengan kaedah berfikir golongan jutawan.
Para jutawan juga tidak mahu memasuki zon yang diistilahkan oleh mereka sebagai “Fokus Serangan” . Mereka berfikir bahawa adalah bijak untuk terus kekal di kawasan perumahan yang sedia ada, walaupun mereka mampu memiliki rumah yang lebih mewah, di samping mengelakkan diri daripada menjadi sasaran jenayah dan memulakan hutang baharu perumahan. Pada masa yang sama, mereka juga mampu menikmati peningkatan nilai rumah yang sedia ada. Di Amerika lebih daripada 90 peratus jutawan tinggal di rumah milik sendiri, dan kebanyakan daripada mereka tinggal di rumah yang sama sejak 20 tahun lalu.
Hampir 50 peratus daripada mereka juga tidak berpindah dan membeli rumah tersebut semasa orang lain sibuk menjualnya. Lebih daripada dua pertiga jutawan bekerja antara 45 hingga 55 jam seminggu. Pada hari bekerja, lazimnya mereka bangun seawal jam tiga atau empat pagi. Mereka tidak mendefinisikan diri sebagai gila bekerja tetapi senantiasa berusaha memaksimumkan pulangan hasil daripada setiap usaha yang dilakukan. Jika terdapat kelapangan, mereka lebih suka menghabiskan masa tersebut dengan penasihat percukaian atau pegawai perundangan peribadi. Hal ini membolehkan mereka mengkaji kaedah terbaik untuk meminimumkan kadar pembayaran cukai dan mengenal pasti ruang yang boleh diperbaiki dalam perniagaan, agar mereka tidak terdedah kepada tindakkan undang – undang dari mana – mana pihak pada kemudian hari.
Masa lapang bersama keluarga pula lazimnya dihabiskan dengan mengunjungi sahabat handai dan saudara mara atau melawat ke lokasi awam seperti muzium, zoo dan taman permainan. Semua aktiviti ini dipilih, kerana menelan belanja yang minimum, di samping mampu merapatkan hubungan yang mungkin akan menjadi jaringan perniagaan di kemudian hari. Mereka menjauhi kasino, kelab – kelab elit dan tempat yang seumpamanya, kerana ia menelan belanja besar dan secara purata, mereka melakukan dua tahun sekali percutian ke luar negara.
Mereka juga sangat percaya kepada kuasa pendidikan, maka tidak hairanlah 90 peratus daripada mereka memiliki ijazah dan lebih 50 peratus daripada mereka mempunyai ijazah lanjutan. Mereka melabur dalam jumlah yang besar ke atas pendidikan anak – anak. Mereka percaya permintaan terhadap jawatan perakaunan, penasihat perundangan dan percukaian akan bertambah kerana pertumbuhan golongan yang berstatus jutawan semakin meningkat. Mereka mahu anak mereka bekerja dengan para jutawan tersebut sebagai penasihat dan bukan bekerja dengan firma – firma biasa.
Kebanyakan jutawan hidup di bawah tahap pendapatan mereka dan melaburkan kembali 15 hingga 20 peratus daripada jumlah hasil pendapatan tahunan yang diperoleh. Mereka tidak menggunakan lebihan pendapatan untuk membeli barangan berjenama mewah khususnya kenderaan. Hanya sebilangan kecil daripada mereka yang memandu kenderaan import model terkini, kebanyakan yang lain cuma menggunakan model tempatan yang telah berusia lebih daripada sepuluh tahun. Menurut cara berfikir salah seorang daripada 10 orang terkaya di Malaysia Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari, kenderaan cumalah satu medium untuk membawa seseorang bergerak dari titik A ke titik B dan beliau cuma memandu Perdana V6, sedangkan jumlah kekayaannya dianggarkan berjumlah lebih daripada 4.29 bilion ringgit.
Namun begitu, kebanyakan orang beranggapan seorang jutawan adalah mereka yang memandu kereta import model terbaru, tinggal di kawasan perumahan mewah, beristeri lebih, memilih para jelitawan atau selebriti sebagai pasangan dan kerap bercuti keluar negara.
Walau bagaimanapun, itu semua bukanlah ukuran mutlak bagi menentukan seseorang berstatus jutawan atau tidak. Jutawan dalam takrif sebenar ialah apabila semua aset seseorang di tolak dengan semua jumlah liabilitinya dan jika masih berbaki sejuta ringgit atau lebih, maka barulah beliau layak bergelar jutawan. Kebanyakan jutawan mampu meneruskan cara hidup mereka untuk tempoh sepuluh hingga dua belas tahun walaupun memilih untuk tidak bekerja. 94 peratus penduduk dunia tidak menjadi jutawan kerana mereka telah menyalah tafsirkan takrif sebenar jutawan dan dengan itu, gagal untuk berfikir seperti seorang jutawan.

KREDIT KEPADA PENULIS : AZLI SHUKRI TODAY =)