ALIF BA TA

ALIF BA TA

29 January 2015

Hidup Dalam Puji-Pujian

Hidup dalam puji-pujian

Hidup dalam puji pujian itu indah,
Namun andai tersalah tafsir ia membawa rebah.
Hidup dengan angan angan itu mudah,
Namun andai tiada tindakan ia tanda kita lemah.
...
Manusia sebagai hambaNya ada masa kita berkobar semangat, ada kala kita rasa kecil menikus. Carilah semangat itu dalam diri sendiri dan dengan mengenal Pencipta, kerana Dia tidak menciptakan kita dengan sia-sia.

Hazwan Mohamad
Cardiff, Wales.
11.01pm
25 Januari 2015

28 January 2015

Manifestasi Kembara Eropah I




Alhamdulillah, entri ini ditulis selepas hampir 2 minggu kembara ke Negara Eastern Europe (Eropah Timur) berakhir. Kembara ke Eropah Timur ini adalah siri Euro Trip ke tiga saya sepanjang menyambung pelajaran di Bumi Cardiff. Koleksi 'fridge magnet' dalam gambar di atas adalah manifestasi saya sepanjang pengembaraan jelajah Euro Trip dari siri 1 sehinggalah yang ke 3 ini.

Sememangnya saya sangat bersetuju bahawa 'Education is the ticket to travel'. Disepanjang siri Euro Trip ini, saya sentiasa bersyukur kepada Nya atas segala nikmat yang tidak terhitung ini. Tidak pernah terjangkau dalam benak fikiran sebelum ini, bahawa kaki ini akan berupaya untuk melangkah ke kota-kota besar di Eropah. Selama ini hanya melihat sahaja di kaca tv dan gambar-gambar rakan-rakan yang bertuah melanjutkan pelajaran ke luar Negara atau pun menumpang tuah keluarga berada melancong keluar Negara saban tahun.

Tetapi, Ya! Kali ini, ia benar-benar berlaku. Mata kaki sendiri merasai betapa dahulunya semua ini hanya impian yang menjadi angan-angan, kini sudah pun berlalu sebagai sebuah kenyataan. Sungguh, peluang yang Dia beri untuk aku melanjutkan pelajaran selepas tamat diploma di UiTM ini satu yang amat besar dan memberi impak pada aku.

Ada berbaki beberapa bulan sahaja lagi untuk menamatkan kehidupan sebagai seorang mahasiswa di bumi Eropah ini. InshaALLAH doakan agar ilham ini tidak tertahan, agar aku dapat kongsikan pada semua ceritera kembara ilmu di bumi bertuah ini.

HAZWAN MOHAMAD
Cardiff University
Wales, UK



Siapa Rasis Yang Sebenar?



Dalam perjalanan pulang dari kelas pagi kelmarin, penglihatan aku tertancap pada sekeping nota yang dilekatkan pada tiang-tiang lampu di laluan pejalan kaki. Ayatnya mudah tetapi membuatkan aku berfikir panjang. Berfikir tentang nota ini sebenarnya sedang berlegar di seantero dunia. Apatah lagi, di bumi bertuah Malaysia. Di Negara bertuah ini, kita dianugerahkan dengan kepelbagaian etnik yang berpijak pada tanah yang sama, berbumbungkan langit yang serupa. Melayu, Cina, India dan juga berpuluh suku kaum Bumiputra Sabah dan Sarawak mengisi statistik populasi negara yang kini sudah mencecah angka 30 juta.

Malaysia seringkali didendangkan dengan kemanisan kepelbagaian etnik yang kita ada. Dahulunya, kita dikenali dengan semangat perpaduan yang cukup jitu dalam kalangan negara-negara ASEAN dan juga global. Mana tidaknya, walaupun kita ada banyak perbezaan, namun tetap hidup dalam aman dan sejahtera.

Tutup cerita 13 Mei 1969, tanah air ini, tidak lagi kedengaran tentang isu-isu besar berkenaan dengan perpaduan antara kaum. Ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri ke-4, kita tidak dihidangkan dengan isu-isu sensitive yang melingkar disebalik perkauman antara Melayu, Cina dan India. Walaupun ramai yang menggelar Bapa Pemodenan Malaysia itu sebagai seorang Ultra Melayu, namun, tidak kedengaran isu-isu major tentang perkauman di Malaysia ketika itu. Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, sentiasa hormat-menghormati adat, budaya, tatacara, dan agama masing-masing.

Namun, selepas pemerintahan Tun Dr Mahathir, isu-isu perkauman di Malaysia semakin memanaskan telinga. Melayu berasa panas punggung, bangsa Cina merasakan seolah-olah mereka dianiya, India rasa terpinggir. Semuanya serba tidak kena. Melayu digelar pendatang oleh kaum Cina, kemudian Melayu pula membalas, bahawa Cina juga kaum pendatang.Agama dijadikan senjata untuk mencapai kemenangan. Dahulu, Islam tidak pernah diperlekeh sedemikian rupa, hari ini, kalimah ALLAH, Azan, ibadah korban, hudud, dan isu aurat (tudung) dengan 'slumber' sahaja dipertikaikan oleh golongan bukan Islam.

SIAPA RASIS YANG SEBENAR ?

Apabila Melayu menuntut hak yang termaktub dalam Perlembagaan, maka itu digelar sebagai rasis. Apabila Melayu Islam berhimpun dan berbicara tentang masa depan dan kepentingan agama, bangsa dan negara, maka ia digelar sebagai rasis. Namun, tidak pula kedengaran ayat-ayat seperti di atas bilamana 'mereka' menuntut sesuatu yang kelihatan lebih kurang sama, malah ada yang lebih 'sudu dari kuah'. Bila itu yang terjadi, mereka katakan 'Ya, itu HAK KAMI'. Namun dalam masa yang sama, bila kita menuntut hak kita, kita digelar si rasis!

Lebih malang lagi, golongan 'mereka' ini bukan sahaja hadir dari kalangan bangsa itu, namun wujud segelintir dari bangsa Melayu sendiri., yang kononnya memperjuangkan hak samarata. Mereka ini mudahnya dicop sebagai LIBERALIS ! Golongan ini, golongan yang saya kira tidak pernah belajar dari sejarah bangsa nya sendiri.

Saya cukup terkesan dengan slogan 'Terrorist has no religion'. Ini adalah slogan yang dilaungkan bagi menghakis Islamophobia dalam kalangan masyarakat global terutamanya di negara Uncle Sam dan Eropah. Ya, memang bangsa dan agama adalah satu yang cukup berbeza. Tidak sama. Namun, bagi saya, dalam konteks perkauman, saya berpendapat ' Racist also has no race'. Rasis juga sebenarnya tidak berbangsa, tidak mewakili kaum tertentu.

Sebenarnya rasis ini adalah orang yang tidak faham akan hakikat kepelbagaian yang wujud disekelilingnya. Sebab itu, orang rasis ini, dia suka menuntut yang bukan-bukan, menuntut yang bukan hak dia. Orang rasis ini akan membuatkan orang yang tidak sama dengan dia merasa terancam, dan tidak senang duduk. Orang rasis ini suka kacau bilau, dan tidak suka perpaduan, keharmonian dan perpaduan dalam kawasan/negara yang dia tinggal.

SIAPA BUKAN RASIS ?

Rasis ini bagi saya lawannya adalah Rasional. Orang yang tidak rasis, adalah orang yang bersikap rasional dalam apa jua perkara. Menghormati perbezaan yang ada, tidak menuntut sesuatu yang bukan hak nya, dan sentiasa mencari titik persamaan bukan perbezaan. Jikalau inilah sikap yang dimiliki oleh kesemua populasi di Malaysia tanpa mengira kaum, saya yakin dan percaya, Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai sebuah negara yang hebat dari segi perpaduannya dapat dikembalikan semula. Tidak ada salahnya bilamana Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain mempertahankan citra budaya, adat, bahasa dan agama masing-masing. Namun yang salahnya adalah kita saling tidak berpuas hati dan sentiasa mencari titik perbezaan antara kita. Apa yang termaktub dalam Kontrak Sosial, akan kekal menjadi sejarah yang baik untuk kita jalani bagi mendepani masa depan Malaysia. Tanpa si rasis, Melayu tidak akan berasa terancam kedudukannya, Cina tidak berasa dianiaya, India tidak akan rasa terpinggir, dan kaum-kaum lain juga turut mendapat manfaat yang sama. Ayuh, Malaysia, kita melangkah ke masa hadapan yang lebih baik, aman dan damai.

p/s: Rasis tidak punyai bangsa


Hazwan Mohamad
Cardiff University, Wales
United Kingdom.
28 Januari 2015