ALIF BA TA

ALIF BA TA

17 March 2011

PELEPASAN RADIOAKTIF NUKLEAR JEPUN TAK SAMPAI MALAYSIA

KUALA LUMPUR 16 Mac – Pelepasan radioaktif ekoran loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi yang terjejas akibat kejadian gempa bumi dan tsunami di Jepun Jumaat lepas, adalah rendah dan tidak mungkin akan sampai ke Malaysia, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
"Maklumat dari Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan arah dan pergerakan angin adalah ke timur dan timur laut Jepun. Oleh kerana pelepasan radioaktif adalah rendah, tidak mungkin ia akan sampai ke negara kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di enam lokasi seluruh Malaysia iaitu Chuping, Ipoh, Kota Kinabalu, Kuantan, Kudat dan Senai masih menunjukkan paras sinaran di Malaysia berada pada paras normal iaitu 0.17 uSv/jam.
"Had dedahan sinaran orang awam adalah 0.50 uSv/jam,” katanya.
Menerusi mekanisme pengawalan masuk bahan radioaktif sama ada melalui kargo atau manusia melalui Sistem Pemonitoran Portal yang dipasang di lapangan terbang antarabangsa KLIA, Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang sejak 2009 juga menunjukkan tiada kadar dedahan melebihi paras normal dikesan sehingga kini, katanya.
Ongkili berkata, kementeriannya melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Nuklear Malaysia terus memantau situasi di Jepun sehingga kini. – Berna

No comments: