ALIF BA TA

ALIF BA TA

28 March 2011

KEMELAYUAN ITU TIDAK SAMA DENGAN ASSOBIYAH

Kemelayuan TIDAK SAMA dengan Assobiyyah!

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah nasib diri mereka sendiri"
(Surah Ar-Ra'd ayat 11).
Contoh ayat dari Al-Quran yang mengakui hakikat kewujudan KAUM/BANGSA serta pentingnya usaha dari sesuatu KAUM/BANGSA itu mengubah nasib mereka sendiri.
Sudah sekian lama polemik berkenaan isu kemelayuan ini menjadi dilema kepada umat Melayu-Islam di Malaysia, malah ia dikelirukan lagi oleh permainan politik golongan-golongan tertentu yang kononnya menganggap kemelayuan itu adalah bertentangan dengan Islam atau bersifat tidak universal dalam realiti masyarakat majmuk di negara ini. Maka artikel kali ini akan memberi sedikit maklumat untuk semua pihak agar dapat menyelami sendiri akan erti sebenar kemelayuan itu tanpa dipengaruhi oleh dendam politik atau pun fitnah dari pihak harbi.
A) Memahami Perbezaan Maksud Istilah-Istilah yang Bersangkutan
--------------------------------------------------------------------

Sebelum kita membicarakan di mana letaknya erti sebenar kemelayuan itu, adalah lebih "afdal" jika kita terlebih dahulu menghayati maksud ringkas beberapa istilah yang berkaitan dengan konsep kenegaraan dan bangsa.
1) NASIONALISME = adalah istilah ciptaan barat yang bermaksud KEBANGSAAN, iaitu suatu semangat cintakan segala hal-hal yang berkaitan identiti bangsa. Dalam Islam, semangat kebangsaan ini wujud melalui batas-batas tertentu sebagai permulaan untuk pembentukan ummah secara universal. Hanya definisi dari barat ini sahaja yang telah memisahkan perkaitan KEBANGSAAN ini tadi dengan pengaruh agama, lantas mewujudkan NASIONALISME SEKULAR seperti yang diamalkan di negara Turki kini. Manakala di kalangan mereka yang memperjuangkan agama Islam pula, NASIONALISME keseluruhannya telah dianggap sebagai sekular akibat salah faham yang dicetuskan oleh provokasi barat terhadap maksud sebenar istilah tersebut. Pada asalnya konsep NASIONALISME ini wujud dalam Islam, berdasarkan beberapa fakta yang akan saya utarakan dalam artikel yang seterusnya, insyaallah.
2) PATRIOTISME = merupakan semangat cintakan negara. Ia berbeza sedikit dari maksud NASIONALISME kerana ia tidak berkaitan dengan mana-mana bangsa dalam menunjukkan rasa sayang kepada sesebuah negara itu. Seperti beberapa istilah dari barat yang lain, PATRIOTISME juga telah dipisahkan dari faktor agama supaya ia kelihatan sekular dan dianggap tidak pernah wujud dalam ajaran Islam. Walhal, semangat kesetiaan seseorang warganegara terhadap Tanah Airnya itu amat dianjurkan dalam Islam, hatta sehingga digalakkan mengorbankan diri dalam mempertahankan negara terutamanya dari dicerobohi musuh Islam yang mengancam hak (yang dilindungi Islam).
3) RASIALISME = jangan dikelirukan dengan maksud rasisme (perkauman)! RASIALISME bermaksud kepercayaan akan realiti wujudnya pelbagai kategori BANGSA/KAUM sebagai fitrah kejadian manusia. Dalam Islam, kejadian bangsa itu merupakan fitrah semulajadi umat manusia. Wujudnya keunikan yang tersendiri daripada sesuatu bangsa adalah bertujuan agar manusia ini saling melengkapi antara satu sama lain, bukan untuk diMANSUHkan ciptaan pelbagai bangsa/kaum ini agar menjadi satu (sama semua) seperti usaha pihak Zionisme Antarabangsa melalui agenda NEW WORLD ORDER yang bertujuan memperhambakan semua umat manusia yang bukan Yahudi. Kewujudan parti-parti politik di Malaysia yang berdasarkan kebajikan kaum-kaum tertentu adalah menepati realiti RASIALISME ini. Pada zaman Perang Salib, pasukan tentera Salahuddin Al-Ayyubi juga disusun mengikut kumpulan kaum masing-masing, walhal mereka semua itu beragama Islam. Ini membuktikan bahawa RASIALISME adalah sesuatu yang fitrah dan adalah normal untuk mana-mana manusia itu cenderung ke arah identiti manusia yang sama sifatnya.
4) ASSOBIYYAH = merupakan subset kepada PERKAUMAN (RASISME), kerana jika diteliti dari sudut sejarah (Sirah An-Nabawiyyah), maksud sebenar ASSOBIYYAH ini lebih menjurus kepada perpecahan yang berlaku DALAM sesuatu bangsa yang sama, bukan ANTARA sesuatu bangsa tersebut dengan bangsa yang lain yang seperti ditakrifkan oleh sifat PERKAUMAN (RASISME) secara umumnya. ASSOBIYYAH merupakan satu semangat kekitaan jumud yang berdasarkan KABILAH atau KELUARGA dalam sesuatu bangsa yang sama. Takrifan ASSOBIYYAH dalam bahasa Inggeris ialah CHAUVINISM. Semangat ASSOBIYYAH inilah yang menjadi halangan kepada penyatuan sesuatu bangsa itu kerana berlaku ketidakadilan akibat bias terhadap KABILAH (KELUARGA) yang tertentu. Sistem kasta (Hindu) merupakan salah satu contoh semangat ASSOBIYYAH yang berlaku dalam satu bangsa yang sama. Persoalannya kini adakah ASSOBIYYAH ini benar-benar wujud dalam masyarakat Melayu sehingga boleh mencetuskan pertumpahan darah seperti di Pakistan atau di Afghanistan akibat perbezaan KABILAH (KELUARGA)?
B) Di Manakah Letaknya KEMELAYUAN itu?
-----------------------------------------------------------------

Seperti yang sudah dijelaskan dalam artikel saya sebelum ini berkenaan definisi MELAYU dalam negara Malaysia yang bersifat universal itu, KEMELAYUAN merupakan manifestasi kepada definisi MELAYU tersebut. Ia merupakan suatu jiwa atau semangat yang bertunjangkan identiti asal Suku Melayu yang tidak bertentangan dengan Islam. Kemelayuan itu tidak bermakna apabila seseorang itu taksub berpenampilan seperti orang Melayu zaman silam dengan memakai tengkolok atau membawa keris, tetapi kemelayuan itu adalah nilai-nilai tradisi yang BAIK yang serasi dengan tuntutan ajaran Islam. Biarpun jika dari segi penampilan kita agak moden dan mengikut arus semasa, tetapi dari segi tingkah laku, sosial, dan sensitiviti, kita sebagai MELAYU perlulah mempunyai perasaan "sense of belonging" dengan segala perihal MELAYU yang tidak bertentangan dengan Islam. Seperti mana sayangnya warga Iran terhadap identiti Parsi (kePARSIan) mereka, sayangnya warga Cina Muslim di China dengan identiti Cina (KeCINAan), begitulah juga kita sebagai Melayu-Islam di Malaysia ini yang sepatutnya sayang terhadap identiti Melayu (KeMELAYUan) selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Inilah yang dinamakan NASIONALISME ISLAMIK atau secara spesifiknya NASIONALISME MELAYU-ISLAM. Mempertahankan semangat kemelayuan tidak bermakna kita tidak sensitif terhadap nasib saudara seakidah dari bangsa lain, contohnya seperti perasaan simpati kita terhadap nasib bangsa Palestin. Kemelayuan yang sejati tidak akan lupa menghormati hak pihak lain dan bertindak secara bertimbang rasa, itulah "kelembutan" dari sifat kemelayuan ini.
Janganlah kita semua terpedaya dengan slogan yang menolak hakikat kejadian bangsa oleh pihak yang kononnya mementingkan UMAT ISLAM SAHAJA kerana MELAYU di Malaysia itu merupakan bangsa tonggak UMAT ISLAM di situ. Seperti juga dakwah Rasulullah yang bermula dari peringkat bawah, pembentukan UMAT ISLAM perlu juga berlaku dari strata yang terendah hingga yang teratas mengikut langkah-langkah yang sepatutnya didahului ("Priority") dengan berdasarkan realiti tempat dan keadaan semasa. Rasulullah juga menyatukan bangsa Arab terlebih dahulu sebelum memfokuskan dakwah Islam di peringkat lebih universal, ini kerana dakwah Islam itu adalah secara berperingkat-peringkat, mengambil masa serta menguji kesabaran umatnya. Tidak pula Rasulullah merujuk bangsa Arab yang sudah Islam ketika itu hanya dengan sebutan UMAT ISLAM sahaja (yang bersifat umum), ini kerana sudah tentulah orang luar mahu mengetahui UMAT ISLAM yang mana? dan dari mana?
Kesimpulannya KEMELAYUAN yang sebenar tidak sesekali sama seperti maksud ASSOBIYYAH jika diteliti dari sudut ilmiah dan sejarah Melayu itu sendiri, di mana bangsa Melayu ini terkenal sebagai bangsa pedagang di zaman silam. Interaksi Suku Melayu atau Rumpun Melayu (secara umumnya) dengan dunia luar agak terserlah dengan kewujudan perlabuhan entrepot seperti di zaman Empayar Melayu Melaka. Ini merupakan bukti bahawa orang MELAYU atau sifat KEMELAYUAN tersebut sudah cukup fleksibel dan tidak janggal dalam menghadapi dunia dengan masyarakat majmuk. Oleh kerana sifat KEMELAYUAN yang fleksibel inilah maka dengan mudah Suku Melayu menerima hidayah Islam yang dibawa oleh pedagang-pedagang Muslim yang datang berniaga.
Artikel ini merupakan suatu usaha penerangan khususnya kepada ahli-ahli UMNO (terutamanya generasi muda) agar memahami erti sebenar KEMELAYUAN tersebut jika mahu meneruskan perjuangan sebenar UMNO yang sepatutnya tidak terpisah dari faktor agama Islam. Dan artikel ini juga ditujukan khas kepada golongan-golongan yang selama ini keliru, atau sengaja mengelirukan diri akibat perbezaan ideologi politik. Ini hanya satu usaha kecil untuk mencetuskan minat kepada semua pihak agar mengkaji perihal KEMELAYUAN ini secara mendalam di kemudian hari, insyaallah.

"Wahai manusia! Aku jadikan kamu dari laki-laki dan perempuan dan aku jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling kenal-mengenali (bukan untuk ditolak identiti spesifik mana-mana bangsa selagi ianya tidak bertentangan dengan syarak). Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu menurut pandangan Allah adalah siapa yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenali"

No comments: