ALIF BA TA

ALIF BA TA

22 March 2011

DR.RIDHUAN TEE : ISU NIKAH DI MASJID

Bahana bincang perkara remeh

Pepatah bahasa Inggeris ada berkata minda besar bincang idea (proaktif), minda sederhana bincang peristiwa (telah berlaku), minda kecil bincang hal orang (mengumpat). Inilah yang berlaku apabila isu akad nikah di masjid sebagai lokasi dikatakan menyimpang dari amalan Rasulullah, kata seorang anggota Majlis Fatwa Perlis.

Pada saya, isu ini adalah isu terpencil dan amat kecil. Tidak timbul isu nikah di masjid ini meniru budaya Kristian, kerana cara bernikah itu berbeza. Agama Islam mempunyai identiti dan cara tersendiri dalam ijab kabul. Persoalan tempat atau lokasi tidaklah terlalu penting berbanding dengan nikah itu sendiri.

Daripada mereka bernikah di tempat lain seperti rumah pengantin atau mungkin juga di hotel-hotel sehingga berlaku pembaziran dan tidak menampakkan ciri-ciri keIslaman, lebih baik mereka bernikah di masjid.

Sekali lagi, pada saya tidak kiralah nikah di rumah pengantin, di dewan, di masjid atau di mana sahaja, yang penting bukan tempatnya, tetapi nikahnya. Paling baik dipermudahkan.

Sekurang-kurang menikah di masjid menjadikan kita lebih beradab sopan dan menjaga tata susila. Paling tidak, mendekatkan mereka yang tidak pernah atau jarang-jarang ke masjid menghampiri atau mendekati masjid.

Lagipun masjid adalah kawasan lapang yang amat selesai kepada para hadirin yang hadir sama ada dari segi tempat pakir mahupun kemudahan yang lain dan keselesaan.

Baru-baru ini, anak lelaki sulung saya melangsungkan pernikahannya dalam usia muda (hampir 20 tahun), sebelum pulang semula ke Mesir untuk menyambung pelajaran bidang perubatan yang tergendala akibat revolusi. Maaf kepada rakan-rakan yang tidak terjemput, maklumlah baru selesaikan yang wajib dahulu, kenduri belum lagi.

Pernikahan tersebut berlangsung di masjid Universiti Islam Antarabangsa. Kesannya begitu besar. Sekurang-kurang saya dapat memperkenalkan kepada adik-beradik dan saudara mara saya yang belum Islam tentang apa itu masjid dan peranan masjid. Selama ini dalam pemikiran mereka, di dalam masjid ada berhala.

Dengan pengenalan nikah ini, setidak-tidaknya dapat menyampaikan dakwah secara tidak langsung. Menjinakkan bukan Islam dengan masjid. Saya yakin mualaf lain yang bernikah di masjid berkongsi pengalaman yang sama,

Bayangkan seperti yang dicadangkan, jika upacara nikah diadakan di rumah pangsa satu atau dua bilik atau rumah teres atau rumah banglo. Betapa sukar dan susahnya juru nikah untuk menikahkan pasangan tersebut dalam keadaan rumah yang sempit dan tetamu yang ramai.

Saya tidak kata majlis akad nikah tidak boleh diadakan di rumah kediaman. Tetapi majlis keramaian sedemikian kurang sesuai diadakan di rumah. Justeru, saya tidak nampak, jika nikah di masjid dikatakan meniru cara dan budaya Kristian.

Sama ada mengikut sunnah atau tidak, saya tidak fikir nikah di masjid akan menimbulkan dosa atau menjadikan seseorang masuk neraka. Malah menjadi lebih pahala jika ramai yang mendirikan solat sunat tahiyyat masjid, mengingatkan kita kepada masjid dan terpaut hati dengan masjid.

Dalam kes saya, betapa besarnya pahala yang mungkin diperolehi jika dengan membawa saudara mara bukan Islam mendekati masjid melalui majlis pernikahan, suatu hari nanti mungkin akan terbuka hati mereka untuk menerima Islam.

Lagi pula, nikah di masjid dapat dilakukan secara serentak beberapa pasangan. Bayangkan jika nikah dibuat dari rumah ke rumah, berapa ramai juru nikah yang perlu dilantik untuk memenuhi keperluan tersebut. Apapun, persoalan nikah di mana, bukanlah persoalan pokok dan sepatutnya tidak timbul perbincangan isu di sini.

Jika dilihat kepada fungsi masjid di zaman Nabi, masjid bukan sahaja pusat mengerjakan ibadat solat semata-mata tetapi pusat segala-galanya. Pendek kata, masjid juga berfungsi sebagai pusat pentadbiran dan pengurusan.

Zaman Nabi tidak ada computer di dalam masjid. Justeru, adakah dengan meletakkan computer dan melayari internet di dalam masjid hukumnya bidaah dan masuk neraka? Maka tidak hairanlah banyak negara Islam masih lagi mundur kerana pemikiran mereka masih tidak berubah dan suka kepada perkara remeh temeh.

Ini yang dikatakan minda kecil bincang benda-benda kecil yang tidak membangunkan minda. Pada saya jika masjid tidak mahu dijadikan pusat nikah, tidak mengapa, buatlah di mana sahaja yang mungkin boleh membawa kita ke syurga. Tetapi jangan keluarkan kenyataan yang tidak meningkat minda dan tidak mewujudkan percambahan ilmu.

Malangnya sungguh umat Islam hari ini kerana terlalu banyak membincangkan perkara yang kecil daripada permasalahan ummah yang lebih besar dan tidak pernah-pernah selesaikan.

Apakah selepas ini kita akan mengatakan membaca khutbah juga meniru ajaran Kristian, sebab agama Kristian wujud lebih lama daripada Islam dan amalan berkhutbah atau sermon elah dipraktiskan sekian lama. Saya cukup bimbang dengan budaya sikit-sikit dikaitkan meniru budaya agama lain, bidaah sana, bidaah sini. Sedangkan perkara pokok tidak pernah selesai.

Golongan agama sepatutnya menghentikan menimbulkan kontroversi atau membincangkan isu yang remeh temeh. Lebih baik masa digunakan untuk membicarakan isu-isu masa depan ummah dan masa depan agama Islam.

Saya cukup takut dan bimbang dengan trend hari ini di kalangan orang agama yang bergelar ustaz dan ustazah yang suka membangkitkan atau membawa isu-isu remeh temeh atau cerita-cerita bodoh untuk mendapat perhatian atau menjadi penonton ketawa.

Lebih menggelikan lagi menonton rancangan suami isteri yang dihoskan oleh pasangan ustaz dan ustazah yang begitu meloyakan dengan panggilan-panggilan ling (darling), yang (sayang), bang (abang) dan sebagainya. Ya, kita tidka nafikan panggilan manja itu baik, tetapi janganlah terlalu over atau berbau gatal. Kita tidak mahu nanti digelar sebagai ustaz atau ustazah yang over atau menggatal.

Saya kadang kala amat muak mendengar lawak-lawak bodoh dan cerita-cerita sedih tidak masuk akal semata-mata untuk memikat dan menjadikan penonton menangis dan berbagai lagi aksi over yang meloyakan. Tindakan sebegini, akan menjadi otak kita tidak berkembang, jumud dan tumpul.

Golongan ini tidak banyak berfikir atau membaca, tetapi hanya mencuri idea-idea orang lain agar dapat dipandang hebat.

Golongan agama sepatutnya tampil ke hadapan menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh umat Islam dalam politik, kegawatan masalah sosial dan juga bagaimana cara untuk keluar daripada kemelut kemiskinan.

Daripada membincangkan isu-isu tidak mempercambahkan minda, paling tidakpun kita bincang pasal penentangan Dap terhadap keputusan kerajaan negeri Kelantan untuk mengharamkan loteri. Akibat desakan tersebut, dikatakan kerajaan Kelantan mula memikirkan kembali akan keputusannya itu. Kita akan lihat perkembangan lanjut.

Dap percaya pengharaman penjualan tiket loteri dan larangan sambutan hari kekasih (valentine day) memberi kesan kepada pengundi Cina dalam pilihanraya kecil Kerdau dan Merlimau. Saya amat hairan, kenapa Pas masih lagi sanggup bekerjasama dan boleh percaya dengan parti seperti ini.

Orang Cina yang baik-baik dan berpegang kepada agama, tidak pernah suka kepada judi dan gejala yang merosakkan. Apa yang diharamkan dalam Islam, turut diharamkan dalam agama mereka seperti isu judi, arak, zina dan sebagainya

Jika Pas mengambil pendekatan dakwah dan berazam mengIslamkan Dap, beritahu Dap bahawa isu judi dan hari kekasih bukan lagi soal hak asasi manusia, kerana hak ini bercanggah dengan hak Tuhan. Adakah hidup berTuhan hanya untuk orang Islam sahaja. Jawapannya, tidak. Tidak ada satu agama di dunia ini yang menghalalkan loteri atau judi?.

Ingin saya bertanya kepada Pas, berapa ramaikah orang Dap yang telah memeluk hasil usaha dakwah Pas. Sukar juga untuk dibuktikan.

Jika difikir secara logik, berapa kerat sangat orang bukan Islam di Kelantan? Kenapa Dap dan sekutunya begitu menentang? Jawapannya mudah sahaja, mereka takutkan Islam. Mereka takutkan undang-undang Islam. Mereka tidak mahu semuanya ini menjadi precedent. Setelah sekian lama berkawan dengan Pas, masih gagal lagikah Pas memberikan kefahaman Islam kepada Dap.

Selepas ini, saya yakin hujah ini akan dipatahkan dengan mengatakan, Umno sekian lama berkawan dengan MCA dan Gerakan, kenapa sehingga hari ini mereka masih tidak faham atau memeluk Islam?

Pada saya, sama ada ada lama atau tidak kita berkawan dengan seseorang, itu adalah tidak penting. Yang lebih penting, adakah kita menjalankan peranan kita masing-masing.

Daripada terus berkawan dengan mereka yang tidak mahukan nilai-nilai agama Islam (termasuk agama bukan Islam) dilaksanankan, sudah sampai masanya, Pas membantu kerajaan memberi idea dan memperkukuhkan agenda transformasi ekonomi, politik dan sosial yang sedang rancak berjalan.

Pemimpin-pemimpin negara mesti disedarkan dan dapat menunjukkan contoh yang baik. Dasar-dasar yang dilaksanakan mesti dapat dilihat memberikan manfaat kepada rakyat.

Kerajaan mesti berlapang dada menerima pandangan-pandangan daripada pembangkang jika benar-benar ikhlas dan tidak ada agenda sebaliknya. Jangan semuanya ditolak. Jika ada kebenaran dan justifikasinya, tidak salah kita menerimanya walaupun datang daripada orang yang kita tidak suka. The most important thing in any relationship is not what you get, but what you give.

Kita mungkin berkawan dengan orang yang kita tidak suka, tetapi jika kita layan orang yang kita tidak suka seperti orang yang kita suka, ianya akan berakhir dengan kejayaan. Kita mungkin berkawan dengan orang yang kita suka, tetapi jika kita layan mereka seperti orang yang kita tidak suka, ianya akan berakhir dengan kegagalan.

Perkara pokok yang perlu kita fikirkan hari ini adalah cara kita bertindak terhadap idea-idea yang bernas yang diketengahkan. Berbanding dengan melayan isu-isu picisan yang membuang masa seperti mempertikaikan nikah sama ada di dalam masjid atau tidak.

Namun begitu, jika kita sudah sedia maklum akan strategi musuh untuk terus menghancurkan, maka ketika itu kita perlulah bertindak sewajarnya. Begitu juga dengan golongan agama hari ini sepatutnya tampil membantu menyelesaikan masalah umat Islam daripada membincangkan perkara remeh-temeh.

No comments: