ALIF BA TA

ALIF BA TA

20 March 2011

DR.RIDHUAN TEE : FAHAMI ASPIRASI MAHASISWA

Cuba fahami aspirasi pelajar

Selaku bekas pemimpin pelajar, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, kerana benar-benar memahami aspirasi para pelajar di institusi pengajian tinggi. Saya yakin semua ini berlaku kerana, Saifuddin yang saya kenal rapat, adalah juga bekas pemimpin pelajar yang aktif suatu ketika dahulu. Maka, tidak hairan jika Perdana Menteri memberikan kepercayaan kepada beliau, bersama ketuanya untuk menjaga institusi akademik yang begitu bermakna kepada agama, bangsa dan negara ini. Jarang-jarang saya berjumpa pemimpin seperti ini yang begitu memahami aspirasi pelajar. Dihormati kawan dan lawan.

Kenyataan yang paling menyentuh hati saya apabila Saifudin mengatakan “Jangan nanti orang anggap kita seperti Burma yang tidak mengiktiraf Aung San Suu Kyi, jangan orang anggap kita seperti Palestin yang tidak mengiktiraf kemenangan Hamas”.

Saifuddin berpendapat universiti terbabit sepatutnya mengiktiraf kemenangan pelajar yang bertanding menerusi saluran sah iaitu pilihan raya kampus yang dipantau oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP). Pada saya, nasihat Saifuddin amat wajar, supaya pentadbir universiti bertindak secara profesional, bukan kerana menjaga pangkat. Jika ada masalah, bawalah berbincang. Apalah sangat pilihan raya kampus jika dibandingkan dengan pilihan raya umum negara. Ibarat langit dengan bumi. Saya tidak nampak pemimpin pelajar begitu mudah dapat mempengaruhi minda pelajar apabila menguasai politik kampus. Majlis Perwakilan Pelajar sentiasa dipantau dari masa ke semasa, sama ada oleh pelajar itu sendiri mahupun pentadbir.

Perlu dingat, universiti tidak ada wujud tanpa pelajar. Pelajar adalah pelanggan utama. Hebat pelajar, hebatlah pentadbir dan ahli akademiknya. Saya dahulu juga adalah pemimpin pelajar yang aktif. Kewujudan kumpulan-kumpulan yang membawa aspirasi masing-masing adalah perkara biasa. Tetapi kita adalah manusia waras dan rasional. Allah kurniakan akal kepada kita untuk berfikir yang mana baik dan yang mana buruk. Begitu juga untuk memilih parti kerajaan atau parti pembangkang.

Saya minta pentadbir universiti, bacalah buku “Mahasiswa Menggugat” oleh Profesor Muhammad Abu Bakar. Cubalah selami dan fahami suara hati pelajar dan mereka yang pernah memimpin gerakan pelajar.

Pelajar adalah orang muda. Rasulullah amat serius apabila memperkatakan zaman muda. Maka kita diingatkan mempergunakan masa muda sebelum tua. Kepentingan ketika muda disebut dalam al-Quran yang bermaksud:

“kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad ) perihal mereka dengan benar. Sesungguhnya mereka itu adalah anak-anak muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian) semasa mereka bangun dan menegaskan tauhid lalu berkata “ Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbir langit dan bumi. Kami sekali-kali tidak akan menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui yang jauh daripada kebenaran.” (Al-Kahfi : 13-14)

Universiti adalah tempat anak-anak muda menambah ilmu, belajar erti kehidupan dan menguji kematangan berorganisasi. Bacalah bersama Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Berikanlah mereka kebebasan dalam ruang lingkup yang dibenarkan. Saya yakin latihan yang mereka dapati dan perolehi akan menjadikan mereka insan yang berguna bila keluar dari alam kampus nanti. Masyarakat di luar sana akan bertanya siapakah profesor yang membimbing anda!

Sama ada mereka akan memilih untuk menyertai kerajaan atau pembangkang. Itu adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi. Kenapa kita terlalu takut dengan bayang-bayang sendiri. Yakinlah, jika kita di landasan yang benar, orang lain tidak akan lari daripada kita. Banyak kes yang kita telah lihat dengan mata kepala sendiri. Allah bersama-sama orang yang benar.

Jangan terlalu mengongkong pelajar. Semakin kita kongkong mereka, semakin mereka memberontak. Ibarat memerah santan menggunakan tangan. Santan akan memercik daripada celahan jari-jari jika terlalu kuat ditekan. Perkara ini mesti difahami. Manusia, jika terlalu ditekan mereka akan bertindak balas. Inilah yang berlaku di dunia Arab hari ini. Paling jelas di Mesir dan Libya. Jadikan ia sebagai pengajaran. Tidakkah Allah menyuruh kita berbuat demikian?

Kita tidak wajar ‘mengUMNOkan’ atau ‘memPASkan’ atau ‘memPKRkan’ atau ‘menDAPkan’ institusi akademik. Apabila institusi akademik dipolitikkan, maka tunggulah kehancurannya. Apa yang penting adalah meneruskan tradisi keilmuan, agar institusi pengajian tinggi dipandang tinggi di peringkat lokal dan internasional. Kita mahukan ahli akademik kita dipandang tinggi oleh kawan dan lawan, apatah lagi mereka yang bergelar profesor, melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang hebat.

Parti-parti yang berkepentingan pula janganlah pula mengambil kesempatan menangguh ketika air keruh. Mentang-mentang ada kemudahan dan kebebasan diberikan, maka kita gunakan peluang untuk menghasut, merosakkan dan meracun minda pelajar.

Tenaga akademik dan pentadbir yang diletakkan di bahagian HEP seharusnya mempunyai pengalaman dalam gerakan pelajar. Baharulah mereka faham aspirasi sebenar pelajar. Bergelumang dunia akademik belum cukup untuk menjadikan kita pemimpin hebat. Pengalaman mendewasakan kita. Apalah salahnya kita mengalah sedikit, berjumpa dengan pelajar tersebut dan berbincang. Tidak berlakulah insiden kecederaan yang menyedihkan.

Kadangkala kita sebagai pentadbir perlu menurunkan sedikit ego demi kepentingan awam atau orang ramai. Ketika menjadi pemimpin pelajar, saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah. Terus terang, saya dahulu pun terlibat sama dalam menentang pentadbir universiti jika mereka bertindak di luar batasan kemanusiaan atau dipengaruhi oleh politik.

Apa yang ada pada saya hari ini adalah disebabkan oleh latihan yang saya terima dahulu daripada institusi pengajian tinggi. Terima kasih Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa. Saya begitu banyak belajar menjadi seorang manusia daripada IPTA ini.

Apalah sangat yang hendak kita takutkan dengan pemimpin pelajar. Mereka juga manusia. Tidak semua pelajar akan bersetuju dengan mereka. Apatah lagi dipengaruhi. Mereka tetap tertakluk kepada undang-undang. Kita, di bahagian HEP sepatutnya membimbing, mendidik dan memimpin mereka. Tunjukkan yang mana betul, yang mana salah. Bukan menyalahkan mereka setiap kali menjelang pilihan raya kampus. Kawal selia mereka dengan berhemah. Saya yakin, mereka akan menghormati kita, tidak kira apa juga fahaman dan pemikirannya.

Manusia yang rasional akan menerima kebaikan dan menolak kejahatan. Jika kita di pihak yang benar, apakah kita yakin pelajar akan menentang kita? Jawapannya, tidak. Kebenaran akan berjaya menumbangkan kejahilan. Itulah sunnahtullah.

Kita bukan seperti Mesir dan negara Arab lain yang mengamalkan pemerintahan ditaktor. Kita adalah sebuah negara demokrasi. Demokrasi berteraskan kepada kebebasan yang terpimpin. Beri peluang orang muda bersuara. Kita dengar suara mereka. Kata-kata Sukarno masih terngiang-ngiang di telinga: “ Beri aku sepuluh pemuda akan kugegarkan dunia”.

Hari ini kita lihat rata-rata pelajar mempunyai pelbagai karakter. Ada watak anak muda yang baik soleh dan solehah. Tidak kurang watak unggul penuh dan sopan, watak antagonis penuh parut di muka, watak ulat buku, watak muka selamba apabila mendengar bayi dibuang merata-rata dan sebagainya. Ada juga yang asyik berhibur hingga leka, berlagak dengan kemewahan. Mati rasa, mati jiwa. Tidakkah kumpulan ini wajar dibimbing dan digerakkan menyertai gerakan pelajar secara sah? Siapa sangka tahap kreatif dan inovatif mereka boleh menggoncang dunia. Semuanya telah dibuktikan sebelum ini.

Cuba kita imbau kembali sejarah orang muda seperti Saidina Ali. Sanggup menggantikan Rasulullah saw di tempat tidurnya ketika peristiwa Hijrah. Hebatnya Asma’ Abu Bakr meredah padang pasir menghantar bekalan ke Gua Tsur tempat Baginda bersembunyi. Begitu juga dengan keberanian Syuhaib Al Rumi dan Salman Al-Farisi. Lihatlah betapa anak-anak muda ini berani dengan penuh keimanan dan kekuatan akidah membantu pemimpin mereka, Rasulullah saw dalam gerakan dakwahnya.

Inilah bakal pemimpin muda yang sepatutnya kita jana. Sebagai pentadbir di unversiti kita hendaklah bertindak menolak fahaman sekular yang telah bertapak dalam minda segar mereka. Zaman muda bukanlah zaman serba boleh dan serba mungkin. Buat apa sahaja asalnya seronok.

Ingat! Jika kita mahu lihat dunia hari depan, lihatlah orang mudanya hari ini. Tenaga orang muda mesti digembelingkan, bukan dibiarkan berlalu sia-sia. Kepada para pelajar, ketika muda, rebutlah peluang kerana orang muda ada tenaga, ada kreativiti dan memahami rakan sebaya. Pelajar mampu memberi alternatif yang baik untuk mengatasi masalah sesama mereka. Inilah kekuatan dan kepentingan anak muda dalam arena politik kampus masa kini.

Watak pemuda yang berani mengislahkan diri. Melahirkan orang muda yang boleh melakukan tranformasi seperti yang disebut oleh Perdana Menteri. Bertindak di luar kotak kebiasaan. Bila keluar rumah, menjaga adab sopan. Bila berhibur tahu batasan, bila bersukan tidak berlebihan, bila bersosial tahu di mana had batas sempadan.

Ketika rakan sebaya sibuk dengan irama hip hop, pop dan rock, terkinja-kinja dengan tarian shuffle, pemimpin muda pelajar tampil memberi bimbingan. Inilah generasi harapan yang kita letakkan kepada pimpinan pelajar muda. Mengekalkan tradisi keilmuan, bukannya berpolitik murahan tidak tentu pasal. Keterlibatan golongan ini penting terutama dalam memenangi hati rakan sebaya dengannya.

Pemimpin-pemimpin pelajar perlu didedahkan dan diberikan kebebasan untuk mencari jalan keluar fenomena ini mengikut cita rasa muda mereka. Pengalaman saya ketika menjadi pemimpin pelajar, setidak-tidaknya latihan yang saya terima menjadikan saya seperti adanya hari ini. Saya tidaklah sehebat pemimpin negara, apatah lagi jika dibanding dengan Saifuddin, tetapi sekurang-kurangnya hadirnya kita boleh membawa sedikit makna, sebagai bekalan menemui Yang Maha Esa.

Gagasan 1Malaysia memerlukan sentuhan pimpinan orang muda. Jangan pandang rendah keupayaan mereka, kerana mereka bakal mewarisi perjuangan kita dan menggegarkan dunia.

No comments: