ALIF BA TA

ALIF BA TA

28 February 2011

AHLI @#$ NILAILAH SENDIRI ...

DARI BLOG AZLI SHUKRI

Maafkan saya jika saya terpaksa berterus-terang dan tidak upaya lagi menjaga hati para penyokong PAS, sesungguhnya saya percaya dan yakin, selagi PAS mengharap pertolongan daripada DAP - yakni musuh Islam, bagi menjatuhkan orang Islam sendiri, maka PAS tidak akan berjaya untuk selama-lamanya. Hujah saya adalah beralaskan kepada firman Allah dalam surah al-Maidah 55-56 yang bermaksud, "Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan sesiapa yang menjadikan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang."
Maka adalah jelas, selagi PAS menjadikan DAP sebagai penolong bagi menghancurkan orang yang beriman (UMNO), maka selagi itulah PAS akan gagal dan kecundang. Allah sudah pun mengingatkan kita semua, jika kita mahu menang dalam apa-apa perjuangan (apatah lagi dalam berjihad), maka jadikanlah orang-orang yang beriman sebagai penolong. Hal ini juga tidak hanya ditujukan kepada PAS semata-mata, bahkan tidak terkecuali kepada UMNO juga. Kesimpulannya, selagi kedua-dua belah parti tidak mahu bersatu padu, maka umat Islam akan tewas dan hancur di negaranya sendiri.

Dan ketika ini, pihak yang tampak jelas mahu ke meja rundingan demi masa depan umat Islam di Malaysia ialah UMNO. UMNO yang seolah-olah membuka pintu perdamaian yang luas kepada PAS, tetapi amat malang sekali, tatkala Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, tidak hanya mencela UMNO, malah turut menolak hasrat baik UMNO agar sengketa orang-orang Melayu dapat diredakan secepat mungkin. Nik Aziz seakan-akan lupa bahawa beliau juga tidak terlepas daripada berkewajib an untuk mengikut ayat 10 dalam surah al-Hujrat yang berbunyi, "Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat."

Tetapi malangnya, PAS lebih mempercayai DAP daripada UMNO, walaupun adalah jelas orang-orang UMNO juga adalah seagama dengan orang-orang PAS. Yang pasti, PAS tidak peduli ayat Allah yang ke 29 dalam surah al-Fath yang bermaksud, "Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang beriman yang bersama dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih-sayang sesama mereka."

DAP adalah parti yang jelas tidak mempercayai keadilan yang dibawa oleh Islam, tatkala mereka secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam dan hukum Hudud, hal tersebut sudah saya jelaskan sebelum ini. Malah, dalam buku berjudul BA dan Negara Islam tulisan Lim Kit Siang pada tahun 1999 sudah jelas membuktikan bahawa parti tersebut menolak ideologi PAS dan cita-citanya untuk menubuhkan negara Islam. Lantaran itu, mengapa PAS bersikap degil dan masih mahu bersengkongkol dengan musuh Islam yang nyata lagi terang itu?

Sehingga kini, tidak ada seorang pun ahli PAS atau pemimpim PAS yang sanggup memberikan jawapan dengan hujah yang menyakinkan berkenaan mengapa PAS perlu bersengkongkol dengan musuh Islam bagi menjatuhkan saudara seagama mereka sendiri iaitu UMNO. Saya bimbang, jika benar kata-kata yang telah disampaikan oleh bekas Presiden PAS iaitu Allahyarham Tan Sri Dato' Mohd Asri Hj Muda 27 tahun lalu yang mendakwa, "Suasana dan sikap yang muncul semenjak Muktamar yang ke-27 hinggalah ke Muktamar ke-28 ini telah menunjukkan bahawa ada sesuatu usaha semacam konspirasi untuk memecah-belahkan PAS dari dalam, terutamanya dalam soal kepimpinan. Menjelang Muktamar ini, suatu penjelajahan yang agak menyeluruh bertopengkan kepimpinan ulama telah mengharu-birukan fikiran dan suasana telah dilakukan, di samping itu, fitnah-fitnah terhadap diri saya berkeliaran mengatasi fitnah-fitnah yang pernah dilemparkan oleh musuh-musuh politik PAS pada tahun 1977/1978 dahulu."

Selepas menyampaikan ucapan yang penuh kekecewaan itu, Tan Sri Asri melepaskan jawatannya sebagai Presiden PAS yang ketiga, setelah tidak sanggup lagi mendengar laungan penghinaan dan kata-kata kesat yang dilemparkan oleh para perwakilan PAS ketika itu dengan ucapan yang nyaring dan kuat, yang berbunyi, "Marakbar Asri, Marakbar Asri, Marakbar Asri." (maksudnya, "Mampuslah Asri, Mampuslah Asri, Mampuslah Asri."). -Sumber Buku, Memori Politik Asri : Meniti Arus, Terbitan UKM 1993.

Pada saya, hati pemimpin manakah yang tidak remuk dengan kata-kata yang sekesat itu? Rupa-rupanya, wajah kepimpinan ulama yang dicanang bagi menjatuhkan Tan Sri Asri dari kerusi Presiden PAS adalah begitu hodoh rupanya. Dengan slogan kepimpinan ulama, mereka menghalalkan kaedah penghinaan dan mencemuh pemimpin mereka sendiri. Maka, tidaklah menghairankan jika kita perhatikan ucapan Nik Aziz yang berbunyi, "Pergi Jahanamlah UMNO" yang dilemparkannya kepada UMNO baru-baru ini di media massa, merupakan kesinambungan daripada sikap mereka tatkala mahu menjatuhkan kepimpinan Tan Sri Asri 27 tahun yang lampau. Kita juga tidak tahu, mungkinkah amalan kata-kata kesat dalam PAS selama ini adalah warisan daripada sikap Nik Aziz sendiri atau pun barisan kepimpinan ulama yang mereka dokong dan sokong selama ini. Apakah ini amalan seorang ulama? atau ini merupakan amalan syaitan yang harus kita hindari? Semoga Allah mengampuni kita semua. Fikir-fikirkan wahai ahli-ahli PAS, siapakah yang tuan-tuan sokong dan harap ini.

1 comment:

TESLAMARIN said...

tunggu hari je,najis tu yang buat kerenah, dia takut hilang kuasa di dunia.kenapa juak pas ni tak terbuka minda mereka.ya Allah bukakanlah minda pemimpin pas untuk bersama umno.
mereka tak rugi apapun kalau bersatu dengan umno, mereka boleh kekal memerintah, mereka boleh mindidik pemimpin umno, jangan jadi pembangkang jadilah pencadang,hidup umno.