ALIF BA TA

ALIF BA TA

23 October 2014

Motivasi Diri dengan Sedekah Bahagian I

Assalamualaikum wbt.




Dari Amr bin Auf, ia berkata : Rasulullah SAW bersabda “ Sesungguhnya sedekah seorang Muslim itu akan memanjang umurnya; dan mencegah dirinya dari kematian yang buruk; serta Allah jadikan ia sebagai penghapus dosa, kesombongan dan keangkuhan .” ( HR Thabrani )

Amalan sedekah merupakan antara amalan yang ALLAH "bayar cash" di dunia buat hambaNya yang bersedekah. Melalui hadis di atas, jelaslah betapa Islam sangat-sangat menganjurkan amalan sedekah ini.

ALLAH "BAYAR CASH"

Saya teringat dalam satu sedutan ceramah salah seorang ustaz yang seringkali keluar di layar TV, iaitu Ustaz Haslin Bollywood (UHB) bercerita mengenai amalan sedekah. Beliau berkongsi cerita tentang seorang ahli perniagaan yang sangat suka bersedekah. Tokoh perniagaan ini dating kepada UHB dan menyatakan hasrat untuk bersedekah lebih kurang RM100 000 untuk kegunaan salah sebuah sekolah madrasah tahfiz.

Dan Alhamdulillah duit sedekah itu digunakan sebaik mungkin. Dalam beberapa bulan selepas itu, UHB didatangi semula oleh tokoh perniagaan ini dan mengeluarkan sekeping check lebih kurang nilainya RM500 000 juga untuk sedekah kepada sekolah tahfiz ini.

UHB bertanya, apa rahsia disebalik kejayaan tokoh perniagaan ini. Jawab tokoh pernigaan ini, rahsianya adalah dengan amalan SEDEKAH. Katanya ustaz ingat dak saya bagi RM100 ribu beberapa bulan yang lepas? Hari ini, ALLAH "bayar" balik berlipat kali ganda, saya dapat projek bernilai lebih RM1 Juta.

MasyaALLAH, Tuan-tuan, janji ALLAH itu benar dan sangat menyakinkan tiada keraguan walau sedikit. Betapa amalan sedekah ini ALLAH bayar ketika di dunia lagi. Apatah lagi di hari perhitungan kelak, betapa kasih dan cintanya Dia pada hambaNya yang memuliakan amalan bersedekah.

SAYA TAK DAK DUIT, MACAM MANA NAK SEDEKAH

Sungguh ramai dari kalangan kita yang selalu dengar ayat di atas ni. Kadangkala, tanpa kita sedar kita pun turut TERguna alasan ini bila ada seruan untuk bersedekah.

Sedekah bukan sekadar duit wang atau harta. Senyuman juga adalah satu sedekah yang paling mulia :


"Senyummu ketika berjumpa saudaramu adalah ibadah." ( HR al-Baihaqi no. 7935)

Namun, janganlah pula dek kerana kita tahu bahawa senyuman itu sudah memadai maka kita tidak berusaha untuk mencuba mengeluarkan apa yang kita ada untuk dijadikan sedekah pada mereka yang memerlukan.

Seharusnya, kita bayangkan betapa tingginya nilai sedekah itu, juga hanya dengan senyuman sahaja pun sudah tercatat sebagai ibadah, apatah lagi kalau kita mengeluarkan sesuatu yang bernilai pada kita.

Ingatlah, kita memberi bukan kerana kita kaya-raya, tetapi kerana kita tahu apa rasa bagi mereka yang tidak punya apa-apa.

MULA DARI SEKARANG, SEDIKIT DEMI SEDIKIT, LAMA-LAMA...

Kata orang jangan suka bertangguh. Sesuatu yang kita rasa memberi kebaikan pada kita dan juga orang lain, maka wajarlah kita menyegerakannya.

Setiap kali sesi ceramah motivasi yang saya kendalikan sewaktu di Malaysia, saya sentiasa sematkan nasihat agar kita sentiasa bersedekah walaupun nilainya cuma RM1 sahaja.

Anda pernah pergi pasar malam ? Kalau anda "regular customer" pasar malam seperti saya, mesti anda akan perasan kehadiran pak cik mak cik yang kelihatan uzur duduk di pasar malam. Ada di kalangan mereka yang buta matanya, kudung tangan dan kakinya, tetapi masih lagi tabah meneruskan kehidupan.

Jadi apa yang perlu kita buat? Latih diri, setiap kali kita ke pasar malam, belikan AIR atau MAKANAN dari peniaga pasar malam yang ada di tepi-tepi itu, dan berikan pada mak cik atau pakcik yang minta sedekah tadi.

 
Jika anda praktikkan amalan ini, anda sebenarnya sudah pun membuat dua kebajikan. Satu anda tolong saudara muslim kita yang mencari rezeki dengan membeli air daripadanya, dan kedua, anda juga turut menghilangkan haus lapar dan dahaga pakcik makcik yang minta sedekah tadi.

Sekarang, ingat balik jadual pasar malam berdekatan dengan anda, dan sediakan seringgit dua untuk praktikkan perkara di atas :)

Kunci utamanya adalah : BUAT SEKARANG, JANGAN TANGGUH LAGI ;)

Sedekah, kunci utama dalam kehidupan muslim.


p/s: Nantikan Motivasi Diri dengan Sedekah Bahagian II dengan kupasan tentang bagaimana ALLAH balas amalan sedekah dalam kehidupan kita dan banyak lagi cara untuk kita bersedekah ;)



HAZWAN MOHAMAD,
CARDIFF BUSINESS SCHOOL,
WALES, UNITED KINGDOM.














No comments: