ALIF BA TA

ALIF BA TA

27 March 2015

Muhasabah Diri Untuk Jadi Lebih Baik

USRAH OHSEM 26 MAC 2015 [AKHIR]

1) Surah pilihan hari ini ialah Surah yang ke-55 didalam kitab suci Al-Quran iaitu Surah Ar-Rahman. Alhamdulillah, setiap seorang berpeluang membaca lebih kurang 7-8 ayat-ayat dari kalam suci Allah hari ini. Moga terus istiqamah dan melipatgandakan amalan.

2) Didalam surah ini ALLAH menyebut sebanyak 31 kali ayat yang berbunyi;

"فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ"

Yang bermaksud: Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Melalui ayat ini ALLAH mahu mengingatkan kepada setiap dari hamba-hambaNya, betapa banyak nikmat yang telah diberikan kepada kita semua namun, kita tetap mengkufurinya. Berapa banyak rezeki yang kita telah kecapi dari rahmat ALLAH swt, namun kita tidak pernah mensyukurinya.

Antara tanda-tanda orang-orang yang tidak mensyukuri nikmat ALLAH itu adalah dia tetap membuat kemungkaran dan kemaksiatan, sedang dia mengecapi nikmat dari ALLAH SWT.

3) Kupasan buku Jalan Dakwah, bab 20 & 21. Bab 20 bertajuk "Tidak Terpesong dari Jalan Dakwah" mengupas tentang betapa pentingnya, kita sebagai pendakwah berada tetap dijalan dakwah yang benar dan tidak terpesong.

4) Sesungguhnya dalam dunia kita hari ini, jalan dakwah ini tidak lari dari pelbagai kumpulan2 yang wujud diatas nama dakwah namun perjuangan dan intipatinya sudah menyeleweng jauh dari jalan sebenar.

5) Akhirnya, hal ini merugikan gerakan dakwah itu sendiri sehingga memberi persepsi dan pandangan buruk terhadap gerakan dakwah yang sebenar. Maka seharusnya, untuk berjuang di jalan dakwah ini, kita tidak boleh untuk tergopoh-gapah dan bertindak melulu. Sebab itu seruan dakwah ini tidak pernah lari dari dihiasi dengan pembangunan diri setiap insan itu sendiri.

6) Bab 21 merupakan bab terakhir dalam kitab "Jalan Dakwah" karangan Sheikh Mustafa Masyhur ini. Topiknya adalah "Marilah Kita Bersaudara, Ingat Mengingati, Wasiat Mewasiati dan Tetap Bertahan Hinggalah Kita Menemui Allah Di Atas Jalan Dakwah"

7) Betapa pentingnya konsep persaudaraan didalam Islam dan juga peri pentingnya konsep nasihat-menasihati sesama sendiri. Islam itu sangat indah. Dan salah satu ciri indahnya Islam adalah melalui konsep persaudaraan dan saling ingat-mengingati. [Recall Surah Al-Asr]

8) Rasulullah SAW mengingatkan kita tentang konsep persaudaraan ini melalui sabda baginda yang bermaksud;

"Seseorang muslim adalah bersaudara dengan muslim yang lain. Dia tidak akan menzalimi, membiarkan dan menyerahkannya kepada bahaya. Barangsiapa yang menolong saudaranya, nescaya ALLAH akan menolongnya. Barangsiapa yang melepaskan saudaranya yang dalam kesusahan, nescaya ALLAH akan melepaskannya dari satu kesulitan malah berbagai kesulitan di hari kiamat nanti, barangsiapa yang menutup rahsia, cela, dan aib saudara muslimnya, nescaya ALLAH akan menutup aibnya di hari kiamat nanti"

9) Kupasan terakhir dari buku ini menyentuh tentang pentingnya doa dan pengharapan serta kebergantungan kita pada ALLAH swt. Dalam usaha kita mengejar redhaNya, moga kita diberi kekuatan untuk tidak pernah lupa untuk berdoa kepada Tuhan Yang Maha pemberi dan pembuka pintu hidayah, agar kita tetap berada di jalannya hingga roh bercerai dari jasad. Moga Allah sentiasa membantu disetiap saat dan waktu.

10) Perkara-perkara lain yang dibincang dalam usrah ohsem kali ini ialah berkenaan dengan kepentingan menyertai jemaah dalam usaha kita ikut serta dalam jalan dakwah (ini juga disentuh dalam bab ke 20)

11) Tentang perkara ini Baginda Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud;

"Barangsiapa diantara kamu yang menginginkan syurga, hendaklah dia melazimi diri dengan menyertai jemaah, kerana syaitan selalunya suka dengan orang yang berseorangan..."

"Tangan (pertolongan) Allah itu bersama jemaah. Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpisah dari kumpulannya"

12) Pesan-pesan Nabi SAW ini menunjukkan betapa pentingnya gerakan-gerakan Islam ini sebagai satu medium untuk membawa manhaj Islam yang sebenar.

13) Ikutlah dan sertailah apa jua jemaah atau gerakan yang kita ketahui dan yakin matlamat akhirnya membawa kepada tertegaknya Islam di muka bumi ini.

14) Namun demikian, perlu untuk kita semua muhasabah diri dan sentiasa ingat. Betapa kita tidaklah sewajarnya untuk menganggap dan mengaku bahawa kumpulan/jemaah yang kita sertai itu lebih baik dari kumpulan atau jemaah yang lain.

15) Jauhilah sikap assabiyyah dan taksub akan jemaah yang kita sertai. Kerana sikap sebegini hanyalah merugikan Islam itu sendiri. Merugikan gerakan dakwah itu sendiri.

16) Usrah Ohsem hari ini 26 Mac 2015 melabuhkan tirai untuk semester ini. Selepas ini, semua antara kita akan membawa haluan masing-masing. Yang terdekat adalah Spring Exam awal bulan lima nanti.

Selamat berjaya untuk semua geng2 Ohsem sekelian!

Walau dimana pun kita akan berada nanti, sematkanlah didalam jiwa, betapa hati-hati ini sudah diikat dengan janji setia membawa Islam kemana sahaja. .


17) Namun, yang paling hampir dengan kita selepas ini, adalah KEMATIAN. Yang siapa-siapa pun antara kita tidak mampun menjangka bila, dimana dan bagaimana kematian itu bakal menjemput kita. Mungkin selepas ini, kita semua hanya tersedar dengan paluan-paluan Munkar dan Nankir.

18) Apakah jawapan kita apabila ditanya tentang usia muda kita, sihat kita, masa lapang kita, kaya kita dan hidup kita kemanakah dan bagaimanakah kita gunakan?

19) Moga-moga dengan usaha yang sedikit cuma ini untuk mengenal dan memahami agama ALLAH ini, membuka ruang dan menjadi amal pemberat di neracaNya nanti. Amin.

"Sesunggunya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah kepada orang yang kamu kasihi, tetapi ALLAH memberi hidayah kepada orang yang dia kehendaki, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk" 

[Al-Qasas ayat 56]


Semoga berjumpa lagi USRAH OHSEM siri yang kedua pula wink emoticon
Rindu sentuhan Firdaus A Bakar dalam dua siri yang terakhir ini cry emoticon
Terima kasih ALLAH, terima kasih semua.

No comments: