ALIF BA TA

ALIF BA TA

16 February 2015

Empat Kriteria Asas Untuk Berjaya (Surah Al-Asr)

EMPAT KRITERIA ASAS UNTUK BERJAYA (Surah Al-Asr) 

From : USRAH OHSEM 15 FEB 2015

1) Hari ini, usrah dimulakan dengan menghayati peringatan yang ALLAH s.w.t. beri tentang kematian. Minggu ini negara kehilangan seorang tokoh ilmuwan dan sosok tubuh yang kental dalam dunia tarbiah. Pemergian Tok Guru Nik Aziz (TGNA) memberi kesan yang mendalam dalam setiap aspek kehidupan manusia.

2) As-Syahid, Imam Hasan Al-Banna, seorang tokoh pejuang dalam dunia dakwah Islamiah, dipanggil menghadap Ilahi pada tarikh 12 Februari 1949. Manakala, TGNA pergi meninggalkan dunia yang fana' ini, pada tarikh yang sama 12 Februari 2015.

3) Namun beza dua tarikh ini adalah, kita diberi peluang untuk merasai pemergian seorang tokoh yang hidupnya dipenuhi dengan caci maki dari manusia, namun perginya beliau menimbulkan kasih dan sayang seorang hamba. Betapa menunjukkan, jalan DAKWAH itu, tiada kesenangan yang wujud diatas dunia. Namun diakhir penghidupan, ALLAH buka jalan-jalan ke SyurgaNya. Kematian yang menghidupkan.  Moga ALLAH tempatkan TGNA dalam kalangan para syuhada dan solehin. 


4) Kematian adalah perkara yang paling dekat dengan manusia. Tapi tidak ramai yang orang yang rasa betapa dekatnya kematian dengan dirinya. Hasilnya, jarang sekali manusia membuat persediaan untuk hari kematiannya. Sedangkan kematian itu adalah suatu yang pasti.

5) Surah pilihan hari ini, adalah Surah Al-Asr. Surah yang ALLAH peringatkan kepada manusia, tentang waktu/masa. Allah bersumpah didalam surah ini, bahwasanya manusia SEMUA sekali, dalam kerugian. KECUALI, orang yang hidupnya memenuhi empat kriteria yang menjadi asas kejayaan dunia dan akhirat iaitu ;
a -Beriman
b - Beramal soleh
c - Berpesan2 dengan kebenaran
d - Berpesan2 dengan kesabaran

6) Dua perkara pertama (a&b) adalah untuk diri sendiri. Akidah kita, solat kita, sedekah kita dsb. Manakala, dua yang terakhir (c&d) adalah tentang nilai kemasyarakatan. Dan dua perkara terakhir inilah yang selalunya manusia terlupa/tertinggal/saja buat2 lupa/tak tahu/tak nak tahu. Ia berkait dengan DAKWAH.

7) Dalam Surah Al-Asr ini ALLAH sudah selitkan 4 perkara (a,b,c,d) yang menjadi asas/kunci kejayaan. Manusia kalau tak tinggal 4 perkara ini, maka dialah manusia yang disebut sebagai orang-orang yang terKECUALI.

8) Analoginya, bayangkan markah lulus untuk peperiksaan kita adalah 40. Kita mesti score at least 40 untuk lulus. Dan kalau kita tak dapat atau kurang 1 markah sahaja pun (cth: 39), kita tetap dikira GAGAL. Begitulah 4 perkara dalam surah yang ALLAH pesan tentang betapa ruginya (GAGAL) manusia yang hidup di muka bumi milik Dia. Bayangkan, kita sudah buat dua perkara pertama (a&b), kita solat, kita puasa, kita sedekah, namun kita terlupa untuk buat dua perkara yang akhir (c&d), kalau ikut analogi, kita baru dapat 20 markah. Kita lulus atau gagal? Sebab itu dua yang terakhir itu ada kaitan dengan jalan DAKWAH.

9) DAKWAH secara literalnya, menyampaikan. Menyampaikan pesan/mesej/ilmu yang mengajak manusia melakukan perkara yang benar dan menjauhi yang salah/mungkar. Namun perkara yang kita sering terlepas pandang adalah, tentang menyampaikan dakwah/berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.



10) Pengajaran dari kisah Nabi Nuh a.s jalan dakwah kepada kaumnya yang hampir mencecah 950 tahun, namun pengikutnya tidak lebih 80 orang. Malah isteri dan anaknya sendiri pun gagal untuk mengikut jalan kebenaran. Namun, baginda dengan penuh ketabahan dan kesabaran tidak berganjak dari menyampaikan mesej dakwahnya. Adakah Nabi Nuh, dikira sebagai orang yang RUGI/GAGAL? Jawapannya tidak sama sekali.

11) Firaun, memiliki kekayaan, istana besar, harta, kuasa, dan segala kemewahan, namun semua itu, hanyalah untuk kemanisan duniawi sahaja, malah ALLAH sudah bayar CASH di dunia lagi. Maka tergolonglah Firaun didalam golongan orang yang RUGI.

12) Sebab itu, kata Imam As-Syafie, kalau ALLAH tidak turunkan semua surah dalam Al-Quran pun, hanya ada Surah Al-Asr sahaja, ianya sudah memadai. Kerana peringatan ALLAH dalam surah ini jelas dan lengkap untuk kehidupan sebagai seorang hamba, dan nilai kemasyarakatan.

13) Sebab itu, hidup ini kita tidak boleh rasa selesa dengan amalan yang kita lakukan sendiri-sendiri sahaja. Solat kita, tilawah kita, sedekah kita, puasa kita, semua itu kita perlu tingkatkan, namun masih tidak mencukup dalam kita hendak pergi menghadap Tuhan Rabbul Jalil. Apa jawapan kita, bilamana nanti ditanya oleh ALLAH, mana perginya dua perkara terakhir yang Dia pesan dalam surah Al-Asr ini? Lidah kaku dan kelu.

14) Oleh itu, sampaikanlah segala ilmu/pesanan yang benar. Sampaikanlah pesan dengan penuh kesabaran. Dengan segala kudrat/kemampuan yang kita ada. Manusia ada pelbagai kelebihan dan kekuatan. Orang yang hebat berpidato, sampaikanlah pesan dalam petah bicara anda. Orang yang hebat dalam penulisan, selitkanlah pesan dalam bait-bait tulisan anda. Orang yang hebat fotografi/edit, luncurkanlah pesanan dalam keindahan fotomu. Moga amal yang sedikit ini, menjadi asbab, kunci syurga ALLAH buat kita semua.

Cardiff
15 Februari 2015
11.59 PM

P/S: Dipersilakan SHARE moga bermanfaat untuk semua.

No comments: